Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) hanya membantah pelantikan politik dibuat ke dalam syarikat bukan kerajaan (GLC) yang berorientasikan keuntungan kerana ia menimbulkan konflik berkepentingan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir dari Amanah, Faiz Fadzil berkata, PH tidak membantah pelantikan ahli politik mengetuai agensi kerajaan.

Justeru beliau menafikan, pelantikan beberapa ahli politik termasuk beliau ke agensi kerajaan baru-baru ini sebagai ‘ghanimah politik’.

“Agensi ini ibarat ‘anak’ kepada kementerian. Apa yang dibantah oleh PH sebelum ini adalah lantikan GLC dalam kalangan ahli politik yang sepatutnya perlu melibatkan golongan profesional kerana GLC adalah syarikat berorientasikan keuntungan.

“Agensi pula bukan syarikat perniagaan. Agensi adalah cabang kerajaan dan oleh itu, tidak timbul masalah atau konflik kepentingan untuk melantik ahli politik menerajui agensi.

“Sama juga seperti kementerian yang diterajui menteri selaku ahli politik. Agensi juga boleh dipengerusikan ahli politik kerana pengerusi perlu mentadbir agensi itu berdasarkan agenda dan visi yang ditetapkan kerajaan hari ini,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily.

Tambah Faiz, agensi berbeza dengan GLC kerana ia ditubuhkan di bawah kementerian yang dipandu oleh statut undang-undang.

Malah, ujarnya, agensi bukan entiti berorientasikan keuntungan tetapi lebih kepada sebuah entiti kerajaan.

Ahli Parlimen Pasir Gudang (PKR) Hassan Karim hari ini dilaporkan khuatir agenda Pakatan Harapan dalam reformasi politik dan kerajaan akan lenyap jika Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bertindak mengekang pelantikan politik selanjutnya.

Hassan berkata, beliau tidak bersetuju dengan tanggapan bahawa pelantikan tersebut perlu dibuat bagi memastikan kestabilan.

“Dahulu kita (PH) janji pada rakyat bagaimana? Nanti bila amalan ‘ghanimah’ politik ini sudah jadi asal bisa tegal biasa, sudah tidak ada beza prinsip kerajaan sekarang ini dengan kerajaan zaman pimpinan Najib, Muhyiddin.

“Dari dahulu lagi saya suarakan kesedihan mengenai perkara ini dan bimbang rakyat akan semakin hilang keyakinan terhadap PH dan kerajaan perpaduan,” katanya seperti yang dilaporkan Sinar Harian.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu yang juga Presiden Amanah sebelum ini mengumumkan Faiz dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Turut dilantik bekas Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) berkuat kuasa 15 Mei ini.

Selain dua pemimpin Amanah, Mohamad turut mengumumkan pelantikan tiga ahli politik sebagai pengerusi badan berkanun di bawah kementeriannya.

Semalam, Naib Ketua Wanita Umno Norliza Abdul Rahim dilantik sebagai pengerusi baharu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Jumaat lepas, Ahli Parlimen Julau Larry Sng dilantik sebagai pengerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia.- MalaysiaGazette