Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook

JEMPOL – Polis menahan 10 lelaki dipercayai ahli kumpulan kongsi gelap ‘Geng 36’ sebelum sempat mencetuskan pergaduhan di kawasan Bahau pada Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), IPD Jempol bertindak ke sebuah rumah di Bahau, selepas menerima laporan mengenai perkara berkenaan pada 8 malam.

Beliau berkata bertindak atas maklumat, sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati kesemua suspek berusia 19 hingga 43 tahun sedang membuat persediaan untuk melakukan pergaduhan dan jenayah.

“Hasil pemeriksaan menjumpai senjata parang, senjata tajam yang diubah suai dan senjata lain disimpan serta disembunyikan berhampiran tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hoo berkata polis telah mengenal pasti dan membuat pengesahan terhadap kumpulan ini berdasarkan tanda tatu di bahagian badan dan gambar simbol ‘36’ di dalam kesemua telefon suspek.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 144 Kanun Keseksaan (Memiliki senjata-senjata maut dalam perhimpunan yang menyalahi undang-undang) dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (Memiliki senjata berbahaya di tempat awam).

Hoo berkata kes tersebut turut disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 (Seseorang yang menganggotai suatu pertubuhan yang menyalahi undang-undang). Kesemua suspek direman selama empat hari bermula 10 Mei.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast