Pemandu terlelap sejenak rempuh lima kereta tepi jalan hingga serpihan cederakan tukang sapu jalan dalam kejadian di TTDI Kajang.

KAJANG – Lima buah kenderaan yang diparkir di tepi di Jalan TTDI Groove 1/2, di sini dirempuh sebuah kereta Perodua Myvi setelah pemandunya terlelap sejenak (microsleep) pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, siasatan di lokasi mendapati pemandu kereta yang berusia 34 tahun itu dalam perjalanan dari Jalan TTDI Groove 1/1 menuju ke rumahnya yang terletak di Taman Jelok Indah selepas membuat kerja penghantaran barang.

“Sebaik tiba di tempat kejadian Jalan TTDI Groove 1/2, pemandu terbabit mengalami ‘microsleep’ lalu kenderaannya termasuk ke laluan bertentangan.

“Perodua Myvi itu kemudian terlanggar lima kenderaan di petak parkir sebelum serpihan kenderaan terbabit telah terkena pada seorang pekerja pembersihan yang sedang menyapu jalan berhampiran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, pekerja pembersihan terbabit yang tercedera akibat terkena serpihan kereta telah dikejarkan ke Hospital Kajang untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

Ujarnya, semua pemilik kenderaan terbabit insiden kemalangan itu selesai membuat laporan polis pada jam 4 petang hari yang sama.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette