Dr. Na'im Mokhtar

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung kewujudan akaun telegram yang membincangkan topik lucah.

Beliau berkata, Jakim turut diarahkan supaya mengadakan pertemuan bersama pihak yang berkaitan dengan akaun telegram tersebut untuk memberikan nasihat serta bimbingan.

Tegas beliau, ada topik yang tidak perlu dibincangkan secara terbuka khusus ya melibatkan hubungan intim di antara suami isteri.

“Ada perkara yang tidak perlu kita bincang secara terbuka termasuklah dalam bab hubungan intim suami isteri.

“Apatah lagi topiknya dengan menggunakan bahasa berbaur lucah. Ini bukan akhlak Islam,” katanya menerusi kenyataan.

Baru-baru ini, tular di Twitter perbuatan pemilik akaun Telegram yang didakwa dikendali seorang wanita membincangkan isu spesifik hubungan intim di antara suami isteri.

Akaun Telegram tersebut turut disertai golongan isteri yang didakwa meminta nasibat daripada wanita tersebut. -MalaysiaGazette