SPIIM
Dusuki Ahmad (tengah), Ahmad Awang (kanan) dan Mohd Khairuddin Aman Razali berbincang mengenai penubuhan SPIIM di Putrajaya, hari ini. (Gambar: Ihsan Majlis Ulama UMNO)

KUALA LUMPUR – Ulama dan pemikir Islam parti pemerintah bersepakat untuk menubuhkan Sekretariat Perpaduan Ilmuwan Islam Malaysia (SPIIM).

Setiausaha Majlis UMNO (MUU), Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, SPIIM yang ditunjangi oleh pemikir dan ulama UMNO, PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) adalah medan interaksi dalam usaha memperkasakan Islam di negara ini dalam konteks Kerajaan Perpaduan.

“Sekretariat itu akan menggerakkan pengembangan usaha mempekasakan Islam dalam negara Malaysia tercinta ini,” katanya, hari ini.

Menurut beliau, persetujuan itu dicapai dalam pertemuan Majlis Ramah Mesra Ilmuwan Islam di Putrajaya yang dihadiri oleh Pengerusi MUU, Datuk Dusuki Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif MUU, Mohd Kamal Nazmi Kamaruddin dan Penasihat Umum Amanah, Datuk Seri Ahmad Awang.

Mohd Khairuddin menambah, turut hadir, Timbalan Penasihat Umum Amanah, Datuk Abd Ghani Samsudin; Setiausaha Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR, Muhamad Muszaki Mohd Ozir; Setiausaha Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ashraf Hadi; Presiden Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abd Hamid dan Ahli Jawatankuasa MAPIM, Dr Fauzi Zakaria.

Beliau berkata, sekretariat itu dipengerusikan secara bersama oleh Dusuki, Ahmad dan Amidi sebagai mewakili ketiga-tiga parti kerajaan.

“Satu bengkel akan diadakan dalam masa terdekat bagi memperincikan hala tuju dan kerangka kerja SPIIM,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast