Datuk Seri Fadillah Yusof yang menyaksikan pelancaran lima tekad Pemuda Kerajaan Perpaduan

KUALA LUMPUR – Membina kesepakatan politik dan perpaduan nasional menjadi tekad  Pemuda Kerajaan Pepaduan dalam konvensyen nasional yang berlangsung hari ini.

Tiga lagi tekad adalah membina bersama ekonomi belia; jaminan sosial dan kemampanan serta kestabilan sosio ekonomi.

Tekad tersebut ditandatangani Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh; Ketua Pemuda Parti Amanah Negara Mohd Hasbi Muda; Ketua Pemuda Pakatan Harapan Kelvin Yii, Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Jonnybone Kurum dan Ketua Wira Warisan, Mohd Ismail Ayob.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang menyaksikan majlis yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur itu berkata, tekad berkenaan melambangkan komitmen golongan belia setiap parti dalam kerajaan.

Ia bagi memperkukuhkan kerjasama yang terbentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Tekad ini membawa agenda perpaduan ke seluruh negara sebab asas kekuatan sesebuah negara adalah perpaduan dalam kalangan masyarakat tidak kira sektor politik, perniagaan dan sosial.

“Ia memfokuskan titik persamaan dan bukannya menumpukan perbezaan. Persamaan yang boleh memperkukuhkan perpaduan di kalangan rakyat, persamaan yang boleh diberi tumpuan untuk mengangkat kehidupan rakyat (dan) gerakkan ekonomi negara.

“Ini yang perlu diberi tumpuan iaitu mereka (belia) bina bersama negara dalam keadaan konsep Kerajaan Madani,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Konvensyen Pemuda Kerajaan Perpaduan 2023 tamat.

Fadillah turut melancarkan jentera ‘Geng Perpaduan’ yang melibatkan semua sayap pemuda parti gabungan.

Ia bagi memperkukuh kerjasama dan mengatur gerak kerja menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

Jentera tersebut merupakan platform baharu pemuda dalam parti gabungan Kerajaan Perpaduan.- MalaysiaGazette