Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Gobind Singh berucap pada Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AFFAN FAUZI, 14 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Pemimpin Kerajaan Perpaduan perlu menerangkan kepada rakyat bahawa kerajaan sekarang adalah pilihan yang betul dan perlu dipertahankan.

Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Gobind Singh Deo berkata, rakyat perlu mengetahui pemimpin yang berkumpul di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur sempena Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan hari ini boleh bekerjasama demi rakyat.

“Kita kena terangkan kepada rakyat bahawa pilihan yang sedia ada adalah pilihan yang betul. Kita ada sekumpulan yang sedia bekerjasama untuk buat kebaikan, untuk masyarakat dan negara.

“Ini yang hendak kita kukuhkan dan bergerak ke depan. Rakyat yakin pemerintahan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan bukan sahaja untuk lima tahun tetapi pilihan raya akan datang. Kita semua di sini beri sokongan penuh kepada kepimpinan Anwar,” kata Gobind.

Dalam forum bertajuk ‘Membina Negara Bangsa’, Gobind berkata, parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan bergerak dalam satu satu matlamat.

Sementara itu, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong pula mahu dasar perpaduan dalam kepelbagaian dipertahankan walau apa jua cabaran dan rintangan mendatang.

Wee Ka Siong

Ini kerana dasar tersebut merupakan kekuatan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat.

“Kepelbagaian di negara kita merupakan satu keunikan dan menjadi khazanah negara yang perlu dipelihara, dipertahan dan terus diperkukuh.

“Kepelbagaian ini juga perlu dirai, bukannya dicemari dengan politik ekstremisme atau melampau tetapi yang kita kehendaki adalah keserdehanaan,” katanya.

Menurut Ka Siong, tanpa kestabilan negara akan menjadi huru-hara, masyarakat berpecah dan sudah tentu ekonomi tidak dapat berkembang sehingga memberi kesan buruk kepada rakyat jelata.

Tambah beliau, kestabilan politik sangat penting untuk dibina dan dipertahankan manakala kepentingan rakyat wajib diutamakan lebih-lebih lagi cabaran di peringkat global yang tidak menentu pada ketika ini.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast