Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi diiringi Ketua Wanita Pakatan Harapan, Aiman Athirah Sabu bersama Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad serta yang lain bergambar sambil menunjukkan memorandum Tekad Wanita Perpaduan pada Konvensyen Wanita Kerajaan Perpaduan sempena Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AFFAN FAUZI, 14 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan agar jentera semua parti dalam Kerajaan Perpaduan khususnya UMNO digerakkan segera.

Jelasnya, langkah itu bagi memastikan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersiap siaga dalam menghadapi PRN tidak lama lagi.

“Kita akan menghadapi PRN di enam negeri, jadi jentera harus digerakkan dalam masa sekarang,” katanya kepada media selepas menghadiri perjumpaan secara tertutup dengan 191 Ketua-ketua Bahagian parti itu di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.

Jelas Ahmad Zahid, ia adalah antara empat elemen yang disampaikan beliau dalam perjumpaan tersebut.

Antara lain adalah beliau menasihatkan agar semua ahli dan ketua-ketua bahagian agar bekerjama biar pun Pemilihan UMNO telah berakhir.

Selain itu, semua ahli UMNO diminta agar menunjukkan keserasian bersama-sama ahli-ahli parti lain bermula di Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan.

“Keseraian di antara pelbagai parti yang lain harus dipercepatkan dan mereka harus menyantuni pelbagai pengundi samada di kalangan ahli kerajaan dan paling penting pengundi tanpa parti,” katanya lagi.

Kerajaan hari ini menganjurkan Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan bertujuan bagi memperkukuh kerjasama dan mengatur gerak kerja dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

Jentera itu merupakan platform baru buat pemuda dalam parti gabungan kerajaan yang dianggotai sayap Pemuda BN, PH, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Warisan.

Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan meneruskan agendanya pada pukul dua petang dengan ‘Bicara Rakyat’ oleh pemimpin-pemimpin parti kerajaan perpaduan bagi membicarakan mengenai komitmen dalam menyelesaikan isu rakyat termasuk ekonomi, masa depan pembinaan negara bangsa dan konsep Madani dalam pelaksanaan agenda rakyat.

Segmen itu terbahagi kepada tiga sesi iaitu Memperkasa Ekonomi Rakyat, Membina Negara Bangsa dan Malaysia Madani.

Kemuncak konvensyen bertemakan ‘Madani Mewajahi Masa Depan Malaysia’ itu bermula pada pukul 3.30 petang dengan amanat Pengerusi Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum berakhir dengan deklarasi konvensyen. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Wak Welanon segarbugar untuk kempen. Sihat ke Wak? pehal PENYAKIT klaster Mahkamah dah hilang ke?
    insyaallah tak lama lagi… MAHKAMAH tunggu tau.. simpan kesihatan ya
    hehehehe
    goodbye goodbye Zahid

Comments are closed.