KHARTOUM – Sekurang-kurangnya 676 orang terbunuh susulan pertempuran antara Tentera Sudan dan Pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF), menurut laporan Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA).
Pertempuran ini telah berterusan selama 30 hari berturut-turut, terutamanya di dalam dan sekitar Khartoum turut mencederakan 5,576 orang, kata OCHA.
Menurut laporan itu, lebih 936,000 orang telah kehilangan tempat tinggal akibat konflik sejak 15 April, termasuk kira-kira 736,200 pelarian dalaman, dan kira-kira 200,000 berlindung di negara jiran.
Sejak pertempuran tercetus pada pertengahan April, penduduk di ibu kota Sudan Khartoum telah mengalami kekurangan makanan yang teruk, terutamanya selepas berpuluh-puluh kilang dirompak dan dibakar.
Menurut PBB, dianggarkan kira-kira 15.8 juta rakyat Sudan, atau kira-kira satu pertiga daripada penduduk negara ini memerlukan bantuan kemanusiaan pada 2023, dan angka itu berkemungkinan meningkat akibat perang.
Pada 11 Mei, pihak Sudan yang berperang telah menandatangani Deklarasi Komitmen untuk Melindungi Orang Awam Sudan di bandar pelabuhan Saudi Jeddah untuk memudahkan penyampaian bantuan kemanusiaan kecemasan dan menjamin pemindahan selamat orang awam.
Bagaimanapun, kedua-dua pihak menuduh antara satu sama lain kerana melanggar perjanjian dan meneruskan pertempuran bersenjata.
Pada hari Ahad, Tentera Sudan menuduh RSF menembak penganut Kristian di sebuah gereja di kawasan Al-Masalma di bandar Omdurman.
Bagaimanapun, RSF menafikan bertanggungjawab atas kejadian itu dan menuduh tentera berada di belakangnya dan menggesa siasatan bebas terhadap insiden itu. – Agensi