Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama timbalannya, merangkap Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hadir pada Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AFFAN FAUZI, 14 MEI 2023.

AHLI UMNO tidak akan meninggalkan parti itu hanya kerana pemimpin dan ahli DAP masuk dan berucap di Dewan Merdeka yang dianggap keramat oleh mereka semalam.

Penganalisis politik Datuk Dr. Jeniri Amir menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas pemimpin UMNO yang dipecat Tan Sri Annuar Musa sebagai melampau.

“Takkan hanya kerana itu maka ahli UMNO akan beramai-ramai tinggalkan parti.

“Kita boleh faham kenapa Annuar buat kenyataan begitu kerana dia sudah terkeluar dan tidak lagi bersama UMNO.

“Tapi saya fikir dia harus buat satu kenyataan yang munasabah dan rasional. Bukan kenyataan yang bersifat umum,” kata Jeniri kepada MalaysiaGazette

Dr Jeniri Amir
Dr Jeniri Amir

Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak itu turut menolak andaian bahawa kehadiran pemimpin DAP ke dalam Dewan Merdeka bagi menghadiri Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan sebagai tanda DAP berjaya menundukkan UMNO.

“Tak timbul (dakwaan itu) Dewan Merdaka itu tempat yang sesuai untuk menampung jumlah perwakilan yang begitu besar melibatkan 19 parti politik. Kita tidak harus membuat tafsiran yang secara literal.

“Apa masalahnya? Itu membuktikan kesediaan UMNO untuk menerima, mengadakan perhimpuan itu bukan sahaja PH tetapi parti lain yang mesra UMNO dan BN,” jelas Jeniri.

Beliau percaya sebahagian besar ahli UMNO faham justifikasi mengapa parti itu bekerjasama dengan DAP.

Ini termasuk UMNO akur titah Yang di-Pertuan Agong supaya semua parti politik bekerjasama bagi kestabilan negara selepas tidak ada mana-mana parti mendapat majoriti pada Pilihan Raya Umum ke-15.

“Mereka faham konteks sokongan UMNO itu walaupun  sebelumnya mereka merupakan musuh, tapi musuh sekarang sudah jadi kawan.

“Kenyataan Annuar adalah melulu dan tidak mengambarkan realiti di peringkat akar umbi.

“Penjelasan yang diberikan oleh UMNO sebelum ini dan oleh kenyataan lain Kerajaan Perpaduan sudah difahami oleh bukan sahaja ahli UMNO tetapi rakyat secara keseluruhan mengapa akhirnya gabungan sedia ada (wujud) seperti sekarang ini,” katanya.

Tambah Jeniri, konvensyen nasional yang berlangsung semalam merupakan satu usaha yang baik bagi memastikan kesepaduan dan perpaduan 19 parti politik yang bergabung menubuhkan Kerajaan Perpaduan.

Konvensyen itu memberi gambaran bahawa semua parti mempunyai keupayaan untuk bekerjasama.

Seterusnya kesemua parti melangkah ke hadapan bagi memastikan segala permasalahan dalam Kerajaan Perpaduan dan isu negara dapat ditangani bersama.

Prof. Datuk Dr. Ismail Sualman

Penganalisis politik dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Datuk Prof. Dr. Ismail Sualman turut mempunyai pandangan yang sama.

“Buat masa ini ahli UMNO menerima hakikat untuk menerima (DAP) demi perpaduan.

“Sama macam Pas bersama dengan DAP, Bersatu dengan DAP. Kenapa pula UMNO tak boleh bersama DAP?” soal beliau.

Ismail juga berkata,  kehadiran pemimpin DAP ke dalam Dewan Merdeka juga sepatutnya tidak menjadi isu.

“Tidak, sebab konvesyen merupakan itu satu pentas untuk mereka bersama, sekarang ini mereka dalam satu kerajaan. Tempat itu tidak penting.

“Bagi saya kalau UMNO pergi rumah DAP adakah mereka akan pertikaikan juga? Paling penting perjuangan untuk masyarakat dan rakyat,” katanya.

Dalam kenyataan di media sosial, Annuar yang merupakan bekas Ketua UMNO Bahagian Ketereh mendakwa, lebih ramai ahli UMNO menolak parti itu selepas Dewan Merdeka yang menjadi lokasi himpunan keramat orang Melayu dimasuki pemimpin dan ahli DAP.

Annuar juga meramalkan meramalkan UMNO akan terus ditolak pada pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya umum (PRU) akan datang.-MalaysiaGazette

Kehadiran DAP ke ‘PWTC’ akan jadi punca ahli tinggalkan UMNO – Annuar

2 Komen

  1. Pakar2 yg menganalisa.. jgn terikut2 rentak org terbuang ni.. strategi nk tunjukkan beliau masih wujud. Strategi lapuk n mudah dibaca

  2. Diamlah Annuar Musa oi. Dok sibuk hal org batpa. Biar ja la luncai2 dengan labu diorg. Jaga tepi kain sendiri sudah.

Comments are closed.