Saifuddin bercakap kepada pemberita pada sidang media selepas majlis rumah terbuka Aidilfitri Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Taman Ekspo Agro Malaysia (MAEPS) di sini, hari ini.

SERDANG – Kerajaan sedang merangka untuk mewujudkan akta baharu berkaitan penyalahgunaan dadah dengan tujuan bagi mengelak kesesakan pesalah di penjara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berjata, menerusi undang-undang baharu itu, tumpuan akan diberi kepada pesalah yang menggunakannya dan pilihan adalah dengan merujuk mereka ke pusat pemulihan.

“Pesalah secara tentatif akan dirujuk ke pusat pemulihan di bawah kendalian Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan tidak terus ke penjara seperti amalan semasa.

“Kami juga telah diberi taklimat mengenai perkara ini oleh AADK dengan segalanya berjalan mengikut perancangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Taman Ekspo Agro Malaysia (MAEPS), di sini, hari ini.

Majlis itu dihadiri, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul.

Saifuddin berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyasar untuk membentangkan rang undang-undang itu kepada Kabinet pada Julai depan.

“Sebaik sahaja kelulusan diberikan, kami akan bekerjasama dengan Jabatan Peguam Negara untuk menyediakan draf bagi dibentangkan di Parlimen tahun ini,” ujarnya.

Sementara itu, Saifuddin berkata, lebih 8,000 permohonan kewarganegaraan dibuat setakat minggu pertama Mei tahun ini.

Ujarnya, tumpuan utama diberikan kepada permohonan kewarganegaraan bagi kategori anak angkat.

“Kenapa saya tumpukan ini. Bagi kategori anak angkat yang tak punya dokumen pengenalan diri, masalah itu akan berlarutan. Dia susah nak dapat rawatan perubatan, dia kena bayar lebih macam warga asing. Dia susah nak masuk sekolah.

“Terdapat juga kes di mana sebahagian daripada kanak-kanak tanpa kerakyatan ini akan memasuki universiti atau kolej dan ia bedepan masalah,” tambahnya. – MalaysiaGazette