WELLINGTON – Sekurang-kurangnya enam orang maut dalam kebakaran di sebuah asrama empat tingkat di sini.
Panggilan kecemasan melaporkan ia menerima panggilan kebakaran di Asrama Loafers Lodge kira-kira jam 12.30 tengah malam.
Semasa kejadian seramai 94 orang dipercayai berada di dalam asrama berkenaan.
Berpuluh-puluh orang berjaya diselamatkan dari bangunan itu, tetapi polis berkata sebilangan individu masih tidak dapat dikesan.
Perdana Menteri New Zealand, Chris Hipkins memberi amaran jumlah kematian mungkin meningkat.
Bomba yang tiba di lokasi kebakaran mendapati bahagian atas bangunan itu terbakar.
Sekurang-kurangnya 20 jentera bomba terlibat membantu memadamkannya dan api berjaya dikawal pada jam 4 pagi.
Komander Bomba dan Daerah Kecemasan Nick Pyatt menyifatkan kebakaran itu sebagai “mimpi ngeri terburuk” Wellington.
Polis tidak dapat mengesahkan jumlah kematian sebenar sehingga dapat memasuki bangunan tersebut.
Pihak berkuasa menyelamatkan sekurang-kurangnya lima orang dari bumbung bangunan yang terbakar dan seorang cedera parah selepas terjun dari tingkat tiga bangunan itu untuk menyelamatkan diri daripada kebakaran, lapor media tempatan.
Sehingga kini punca kebakaran tidak diketahui, tetapi media tempatan melaporkan polis sedang menyiasat sama ada kejadian itu melibatkan perbuatan khianat. – Agensi