tadbir urus institusi pendidikan MARA
Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah meluluskan peruntukan RM50 juta untuk kerja-kerja menaik taraf dan menyelenggara termasuk mengganti peralatan dan perkakas lama di semua institusi pendidikan di bawahnya.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, peruntukan itu diluluskan oleh Majlis MARA semalam.

Menurut beliau, ia melibatkan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Institut Kemahiran MARA (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) dan Kolej MARA

“Sejak hampir dua bulan saya diamanahkan selaku Pengerusi, saya telah menjelajah hampir 23 institusi pendidikan MARA seluruh Malaysia kecuali Sarawak sahaja yang belum berkesempatan.

“Ini adalah untuk melihat sendiri kondisi pelajar, guru di kampus dan keadaan persekitaran setelah menerima banyak maklum balas di ruangan media sosial saya,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Beliau turut menyatakan komitmen akan terus turun padang bagi memastikan agenda pendidikan dan pembangunan usahawan Melayu dan bumiputera diperkasakan. – MalaysiaGazette