Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (tengah) diiringi timbalannya, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh bercakap kepada media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2022 dan Sambutan Hari Raya Jabatan Imigresen Malaysia di Putrajaya. Foto FAREEZ FADZIL, 16 MEI 2023.

PUTRAJAYA – Keputusan Kementerian Dalam Negeri menarik balik rayuan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melibatkan isu perundangan sivil dan pentadbiran iaitu berkaitan rampasan bahan penerbitan dan bukannya membabitkan isu penggunaan kalimah Allah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ini kerana keputusan mahkamah pada 10 Mac 2021 itu dibuat bukan bersandarkan sudut teologi atau pun apa jua yang melibatkan penggunaan kalimah Allah.

Malah jelas beliau, fungsi mahkamah itu sendiri adalah tidak bersesuaian untuk memutuskan hal-ehwal berkaitan agama secara spesifik.

“Justeru, dalam penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac 2021, jelas bahawa Hakim membuat keputusan berdasarkan pendekatan secara pentadbiran dan tidak menyentuh mengenai penggunaan kalimah Allah serta ianya didapati konsisten dengan keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap kes Titular Roman Catholic Archbishop Kuala Lumpur lawan Menteri Dalam Negeri pada tahun 2014.

“Bersangkutan dengan hal ini, keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan permohonan rayuan tersebut adalah dibuat mengikut case-by-case basis tanpa menjejaskan fakta bagi setiap satu kes yang sedang dalam tindakan mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2022 dan Sambutan Hari Raya Jabatan Imigresen Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataannya semalam yang memberitahu KDN telah mengemukakan nota kepada Jemaah Menteri mengenai keputusan kementerian itu menarik balik rayuan di mahkamah berhubung keputusan penggunaan kalimah Allah.

Beliau berkata, nota tersebut merupakan makluman kepada Jemaah Menteri mengenai keputusan yang dibuat oleh KDN berkaitan tindakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya, pada 18 April lalu.

Semalam media melaporkan, KDN dan kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.

Mengulas lanjut, Saifuddin menjelaskan, sewaktu proses permohonan rayuan kes itu sedang berjalan, KDN turut memperhalusi dengan teliti keputusan Mahkamah Tinggi.

Jelas beliau,  pihaknya mendapati terdapat percanggahan antara keputusan yang dibuat oleh Kabinet pada 19 Mei 1986 dan Arahan Pentadbiran yang kemudiannya dikeluarkan oleh KDN pada 5 Disember tahun sama.

Oleh yang demikian katanya, KDN mengambil langkah mengkaji dan mengemaskini satu arahan yang lebih menyeluruh bagi menangani isu penggunaan kalimah ‘Allah’, ‘Baitullah’, ‘Solat’ dan ‘Kaabah’.

“Ia selari dengan kepentingan dan kemaslahatan masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia serta penyeliaan dan kawalan yang lebih berkesan terhadap bahan-bahan penerbitan yang menyalahi peruntukan perundangan yang berkuatkuasa.

“KDN lebih memfokuskan kepada aspek ketenteraman awam selaras dengan Perkara 11(5) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa kebebasan beragama tersebut tidaklah membenarkan apa-apa perbuatan yang berlawanan dengan mana- mana undang-undang am yang berhubungan dengan ketenteraman awam, kesihatan awam atau kemoralan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast