KUALA LUMPUR – Isu penggunaan kalimah Allah yang timbul kebelakangan ini untuk penganut Kristian di Sarawak sahaja, bukan melibatkan umat Islam di Semenanjung, kata bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim.
Bagaimanapun, katanya, isu itu sengaja ditimbulkan musuh politik di Malaysia kerana mempunyai kepentingan untuk mendapatkan sokongan dan undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.
Ujar beliau, kalimah Allah digunakan oleh penganut bukan Islam di Sarawak sejak ratusan tahun dahulu lagi dan tidak pernah menimbulkan kemarahan umat Islam di negeri itu.
“Isu ini sengaja ditimbulkan semula sehingga banyak kenyataan viral di pelbagai medium media sosial, yang rata-ratanya menyalahkan kerajaan perpaduan dan Perdana Menterinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Ini semua digunakan untuk mendapat undi sahaja, kerana jika kita teliti, pengunaan kalimah Allah hanya digunakan di Sarawak, bukan di Semenanjung. Malah, keputusan oleh Mahkamah Tinggi pun di Sarawak.
“Kalimah Allah ini digunakan mereka yang beragama Kristian di Sarawak sejak 100 hingga 200 tahun dulu lagi dan ianya datang dari Indonesia,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.
Namun, menurut Zaid, isu itu sengaja diperbesarkan untuk menunjukkan seolah Anwar yang memperkenalkan kerajaan Malaysia Madani menjadi punca dan menyebabkan perkara itu berlaku.
Jelas beliau, kerajaan pimpinan Anwar memerlukan masa untuk mendidik dan memberi pelajaran kepada pengundi di negara ini mengenai apa sebenarnya yang berlaku.
Oleh itu, katanya, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil serta biro politik masing-masing perlu mainkan peranan menjelaskan isu itu kepada rakyat supaya mereka faham.
“Jelaskan kepada rakyat bahawa kalimah Allah itu hanya digunakan di Sarawak, tidak ada kena mengena dengan umat Islam di Semenanjung.
“Perkara ini digunakan sejak berzaman lagi, sebab itu rakyat Sabah dan Sarawak yang beragama Islam tidak marah pun penggunaan kalimah Allah ini. Yang bising orang politik di sini,” katanya. – MalaysiaGazette