Foto pertemuan yang dikongsi Ahmad Zahid Hamidi di Facebook beliau.

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu kalimah Allah pagi tadi.

Menurut Zahid yang juga Presiden UMNO pertemuan itu berlangsung sebelum mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Pertemuan yang turut disertai Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki itu, bagi menzahirkan pandangan dan pendirian akar umbi UMNO terhadap isu kalimah Allah.

“Alhamdulillah, Perdana Menteri menyatakan komitmen untuk terus mempertahankan ketetapan dasar Kerajaan berkenaan isu penggunaan kalimah Allah sebagaimana yang telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutaan pada 2014.

“Pada masa yang sama, kerajaan akan memperkemaskan isu-isu penguatkuasaan terhadap dasar penggunaan Kalimah Allah dan memutuskan untuk mempersembahkan cadangan-cadangan kepada Majlis Raja-Raja.

“Ini bagi memastikan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan sebagaimana peruntukan Perlembagaan akan terus terpelihara di samping mengekalkan perpaduan dan keharmonian di antara kaum dan agama di Malaysia,” katanya dalam kenyataan di media sosial.

Anwar hari ini dilaporkan berkata, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan kepada Jemaah Menteri mempersembahkan cadangan-cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah Allah kepada Majlis Raja-Raja.

Menurut Perdana Menteri, Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini membincangkan keputusan Peguam Negara untuk menarik balik rayuan terhadap kes Jill Ireland berhubung bahan penerbitan yang mengandungi kalimah ‘Allah’.

Jemaah Menteri mengambil maklum bahawa keputusan yang dibuat hanya berkisar soal pentadbiran dan tidak merubah ketetapan Mahkamah Persekutuan pada tahun 2014,” ujarnya.

Banyak pihak termasuk daripada ahli Parlimen kerajaan mempersoalkan tindakan kerajaan menarik rayuan berhubung kes tersebut.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Lembab sangat MADANON ni…
    Raja Johor dan Raja-raja lain dah naik angin kemudian MP PN serta rakyat memberi amaran baru la MP MADANON bersuara bunyi macam bebudak dipaksa suruh membaca.
    terakhir adalah President Wak Welanon baru terhangguk-hangguk kata macam niatnya dah lama ada tapi TIADA kesempatan bersuara.
    goodbye Zahid Hamidi

Comments are closed.