Tun Dr. Mahathir Mohamad.-Foto MOHD ADZLAN, 07 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Shah Alam menetapkan 31 Mei ini untuk pengurusan kes saman fitnah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Difahamkan juga, Perdana Menteri telah sudah memfailkan kehadiran terhadap tuntutan saman fitnah RM150 juta terhadapnya pada 16 Mei lepas.

Ini juga sekaligus mengesahkan Anwar yang merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) bersedia menjawab tuntutan saman Tun Mahathir terhadapnya.

Tun Mahathir menuntut ganti rugi RM150 juta berhubung ucapan Anwar di Kongres Nasional Khas Malaysia Madani: “Pelaksanaan Sebuah Idealisme” pada Mac lalu.

Tun Mahathir dalam penyataan samannya mendakwa ucapan Anwar itu membawa maksud beliau membolot harta untuk keluarga dan kehilangan harta, aset atau saham orang Melayu adalah berkait dengan harta, aset atau saham milik keluarganya.

Dakwa Tun Mahathir kenyataan Presiden PKR itu adalah tuduhan berat yang membawa impak besar terhadap dirinya yang membawa maksud kononnya bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh adalah seorang yang bersifat perkauman.

Kenyataan berkenaan turut bermaksud kononnya beliau individu yang mempunyai kekayaan dalam lingkungan ‘berbilion-bilion’, membawa wang itu ke luar negara; dan mengelak untuk membayar cukai.

Tegasnya, Mahathir, ini juga menimbulkan persepsi buruk dan mencalarkan imejnya sebagai negarawan yang mempunyai reputasi sebagai seorang ahli politik dan pemimpin yang disegani di seluruh Malaysia dan dunia.

Selain ganti rugi am sebanyak RM50 juta dan ganti rugi tauladan RM100 juta, beliau turut memohon supaya Anwar menarik balik dan memadamkan semua kenyataan dan permohonan maaf secara bertulis. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast