Hassan Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim sekali lagi menegur kerajaan berkaitan menarik rayuan kes melibatkan kalimah Allah.

Dalam teguran berbentuk puisi, Hassan yang merupakan Ahli Parlimen Pakatan Harapan menggesa kerajaan supaya tidak mengambil mudah menyelesaikan isu tersebut.

Ini kerana, menurut beliau, kecuaian dalam mengendalikan isu berkenaan boleh mengundang padah.

Katanya, isu kalimah Allah mengulangi kesilapan yang dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Harapan 1.0 berkaitan Statut Rome dan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd).

“Aduhai, kalian senang-senang melakukan kesalahan yang sama. Lima tahun lalu berlaku mimpi ngeri Icerd dan Statute Rome.

“Kini hal yang sama berulang lagi. Takkanlah kalian lupa itu semua Kealpaan yang sama. Mengundang bencana yang sama,” coret beliau dalam nada kesal.

Hassan turut mempersoalkan dalang di sebalik keputusan menarikan balik rayuan terhadap keputusan mahkamah yang membenarkan seorang wanita Kristian Sarawak, Jill Ireland menggunakan kalimah Allah.

Beliau tidak mahu menunding jari kepada sesiapa namun Kerajaan seolah-alah sengaja mencari masalah seperti peribahasa ‘tiada beban, batu digalas’.

Hassan dalam puisi tersebut mengambarkan beliau berhak untuk bersuara kerana dia turut terlibat dalam membangunkan kerajaan yang ada.

“Penat kami di bawah ini mendukung kerajaan ini, Tapi kini, kembali de jevu berulang tayang.

“Nah, sekarang kalian terpaksa lakukan damage control. Kalian bekejar ke sana sini usahakan mitigasi. Supaya kerosakan ini boleh diperbaiki

“Lalu keluarlah pemikiran after thought yang dangkal, merapu dan mengarut,” katanya.

Di akhir puisi, Hassan menuntut kerajaan untuk bermuhasabah dan jangan mengambil mudah isu kalimah Allah.

“Jadi, ingatlah, jangan ambil mudah kalimah Allah. Kalian yang buat salah, Kalian dituntut bermuhasabah, bacalah Astagfirullah,” tegas beliau.

Dalam mengendurkan isu tersebut, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kabinet mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah untuk mempersembahkan cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah ‘Allah’ kepada Majlis Raja-Raja.

Perdana Menteri juga memaklumkan, mesyuarat Jemaah Menteri turut membincangkan mengenai keputusan Peguam Negara untuk menarik balik rayuan terhadap kes seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill berhubung bahan penerbitan yang mengandungi kalimah ‘Allah’.- MalaysiaGazette

 

1 Komen

  1. Hassan ni MP PKR Melayu ISLAM yang berprinsip waja. Berani MENEGUR untuk memperbetulkan kebatilan. Dalam PH Kerajaan MADANON ada parti yang ARIF mengenai ISLAM ke? jika ada sila beritahu siapa mereka!!!
    goodbye Zahid Hamidi

Comments are closed.