Foto kredit: DBKL

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengambil langkah proaktif bagi melindungi keselamatan penyewa Perumahan Awam Loke Yew, di sini, selepas satu dinding kayu salah sebuah unit rumah di kediaman flat itu tercabut akibat hujan dan ribut petang semalam.

DBKL memaklumkan pihaknya sudah menutup dan memagar kawasan dinding yang tercabut itu menggunakan ‘hazard tape’ bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku di unit kediaman itu.

“Dinding sementara telah dipasang di unit terlibat sebelum kerja-kerja baik pulih dinding kekal dilaksanakan dalam tempoh terdekat,” menurut DBKL dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, tindakan sama juga telah diambil terhadap empat unit rumah di Blok 3, Perumahan Awam Seri Johor, di sini, selepas bumbung blok berkenaan tercabut akibat insiden hujan dan ribut itu.

“Kerja-kerja pemasangan kanvas sementara telah dilakukan di bumbung unit terlibat sebelum kerja-kerja baik pulih bumbung kekal dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

“Bekalan elektrik di unit terlibat juga telah diputuskan bagi tujuan keselamatan manakala penghuni yang terlibat telah berpindah ke rumah saudara mara di kawasan berhampiran,” menurut kenyataan itu.

DBKL turut memaklumkan tiada pusat pemindahan sementara dibuka buat masa ini.- BERNAMA