Gambar hiasan

POLITIK kampus sememangnya wadah utama kepada perjalanan mahasiswa sebelum melangkah ke arah dunia politik sebenar.

Mahasiswa hari ini telah terlibat sama dalam politik di peringkat nasional sebagai pengundi dengan pelaksanaan Undi-18 tempoh hari.

Undi-18 telah dilaksanakan bermula Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 2022 disusuli dengan Pilihan Raya Umum (PRU15) November lalu.

Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Muhammad Hisyamuddin Sazali berkata, biar pun telah menerima tentangan dan sokongan dengan pelaksanaan Undi-18 ini, kematangan pengundi muda khususnya mahasiswa dalam memilih wakil rakyat mereka tetap diteruskan.

Beliau menyifatkan secara hakikinya mahasiswa belum lagi benar-benar cakna dalam kefahaman berkaitan politik dan isu politik di peringkat kampus ataupun nasional.

“Saya dapati rata-rata majoriti mahasiswa hari ini lebih ke arah menolak politik kerana melihat politik itu kotor dan tidak dapat membezakan politik dan parti politik.

“Sewajarnya politik kampus merupakan medan terbaik untuk memangkin kesedaran dan literasi politik. Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (PMPP) sepatutnya menjadi pesta demokrasi yang perlu dipandang serius oleh semua mahasiswa.

“Malah, mahasiswa tidak boleh berpandangan untuk memilih wakil tangkap muat atau berdasarkan rupa tanpa melihat etika kerja, kredibiliti, akauntabiliti dan kewibawaan calon yang bertanding ketika itu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Muhammad Hisyamuddin bagaimanapun menjelaskan, sayangnya, wujud mahasiswa yang tidak ambil peduli dan mengundi secara sambalewa.

Katanya, ada juga Jawatankuasa Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (JPMPP) di beberapa universiti meletak syarat bertanding MPP secara berindividu dan tidak dibenarkan secara berkumpulan.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan ia sewajarnya tidak berlaku kerana mahasiswa sudah didedahkan dengan pengundian calon parti politik di peringkat nasional, namun tidak boleh berbuat perkara yang sama sewaktu PMPP.

“Hal ini adalah kontra dengan amalan di peringkat nasional.

“Di UMT, mahasiswa baharu sahaja ke arah penubuhan gerakan mahasiswa atau parti politik kampus dengan setakat ini dilaporkan dua gerakan mahasiswa baharu bertapak iaitu Gelora Mahasiswa (GEMA) dan Democratic Student Alliance (DSA).

“Ini adalah suatu kesedaran politik yang baik dalam kalangan sekelompok kecil mahasiswa yang mula mempelopori gerakan mahasiswa ini,” katanya.

Beliau berharap, kedua-dua gerakan itu matang, rasional dan logik dalam melakar politik kampus di UMT, malah memohon pihak pengurusan untuk tidak menghalang gerak kerja mereka selagi mana tidak bertentangan dengan perlembagaan universiti dan negara.

Katanya, penubuhan gerakan mahasiswa itu boleh memeriahkan politik kampus yang hambar sambil berkhidmat bakti kepada mahasiswa dalam menjadi suara alternatif mahasiswa selain MPP.

“Pihak pengurusan dinasihatkan untuk terbuka dalam menerima penubuhan gerakan mahasiswa yang bertapak di kampus sebagai sebahagian daripada pemerkasaan mahasiswa yang kita mahukan.

“Selaku Yang Dipertua MPP UMT, saya berazam dan bertekad untuk melihat literasi politik dalam kalangan mahasiswa boleh diterapkan sebaik mungkin.

“Ini untuk menyedarkan mereka mengenai kepentingan politik supaya di kampus nanti menjadi seorang berpemikiran kritis dan inovatif, selain menjana smart skills dan sharp skills sewaktu penglibatannya dalam politik kampus secara aktif,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

 

Muhammad Hisyamuddin Sazali

Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Terengganu (UMT

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast