KUALA LUMPUR – Empat penyokong bola sepak yang ditahan polis kerana membuat kekecohan semasa perlawanan Liga Super di Stadium Perak di Ipoh Perak malam tadi direman tiga hari mulai hari ini untuk membantu siasatan polis.
Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, mahkamah membenarkan keempat-empat suspek itu ditahan untuk membantu polis melengkapkan siasatan.
“Usaha mengesan beberapa penyokong lain yang membuat kekecohan dalam perlawanan Liga Super antara Perak FC dan Selangor FC itu masih diteruskan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Terdahulu, dalam kenyataan awal pagi tadi, Yahaya mengesahkan empat individu lelaki tempatan berusia antara 18 hingga 26 tahun telah dicekup polis kerana didapati membuat kekecohan di Stadium Perak Ipoh semasa perlawanan Liga Super.
Kata beliau, siasatan awal polis mendapati insiden rusuhan itu berlaku antara penyokong bola sepak Selangor FC dan Perak FC di stadium pada jam 9.17 malam Sabtu.
“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh. Namun keadaan dapat dikawal oleh para anggota polis yang terlibat dalam tugas kawalan semasa kejadian berlaku,” katanya.
Pada masa yang sama, polis menyeru orang awam yang menyaksikan atau mempunyai gambar atau video insiden di stadium itu agar segera tampil menghubungi polis di IPD IPoh untuk membantu mengesan saki baki penyokong lain yang terlibat dalam kekecohan itu.- MalaysiaGazette