Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub melawat tapak pameran selepas merasmikan Hari Metrologi 2023 di IOI Mall, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 21 MEI 2023.

PUTRAJAYA – Kerajaan berjaya ‘membunuh’ isu pertukaran Perdana Menteri melalui Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang telah berlangsung  minggu lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, konvensyen tersebut membuktikan sokongan banyak parti terhadap Kerajaan Perpaduan termasuklah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita telah membunuh isu pertukaran Perdana Menteri atau kerajaan dengan mengadakan Konvensyen Nasional Perpaduan yang begitu berjaya.

“Komitmen yang ditunjukkan semua parti parti antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) tidak boleh dipertikaikan,”katanya ketika sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Metrologi Sedunia.

Namun Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, sekiranya pembangkang masih berdegil dengan isu tersebut, beliau mencabar supaya Perikatan Nasional (PN) mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri pada persidangan Dewn Rakyat yang akan bermula esok.

“Kalau Perikatan Nasional (PN) masih mau mainkan isu ini, esok adalah hari terbaik untuk mereka kemukakan usul undi tidak percaya kepada PM.

Ujarnya, sejak awal Anwar tidak pernah menghalang pihak pembangkang untuk mengemukakan usul itu terhadapnya.

“Esok adalah hari terbaik untuk mereka datang dan kemukakan usul itu.

“Perdana Menteri sentiasa terbuka kepada mereka untuk kemukakan usul tersebut. Premis yang  terbaik adalah Parlimen untuk mereka cabar usul undi tidak percaya.

“Kalau tidak ada esok, saya ibaratkan isu yang dimainkan ini hanya langau berterbangan,” tambahnya.

Semalam dilaporkan, Pejabat Ketua Pembangkang mengesahkan bahawa tiada mana-mana Ahli Parlimen pembangkang yang mengemukakan usul itu kepada Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast