Kon Yeow dan Musa ketika ditemui pemberita di Majlis Rumah Terbuka DAP Pulau Pinang hari ini.

JURU – Soal pertindihan kerusi dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) antara perbincangan yang belum selesai membabitkan UMNO dan Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir ketika diminta mengulas mengenai hasil pertemuan dengan PH negeri semalam.

Musa berkata, walaupun ada perkara yang belum mencapai persetujuan namun setiap perbincangan dengan PH merupakan perbincangan yang baik atas semangat setia kawan.

Musa.

“Setakat ini dua perbincangan telah diadakan dengan PH negeri dan ada perkara yang belum selesai kita akan buat lagi perbincangan nanti.

“Antara masalah yang masih dalam perbincangan adalah membabitkan pertindihan kerusi tapi Insya Allah kita yakin Ketua Menteri, Chow Kon Yeow akan selesaikannya hingga capai satu persetujuan kelak.

“Apa yang boleh saja jelaskan kemesraan dengan PH itu nampak walaupun ini pertama kali kita bersama mereka. Malah, mereka (PH) pun bertolak ansur dengan kita untuk memastikan persetujuan dicapai dalam menghadapi PRN nanti,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, Musa menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DAP negeri di Bukit Tengah di sini.

Kon Yeow (tengah) bergambar pada majlis rumah terbuka DAP.

Hadir sama, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow selaku tuan rumah; Pengerusi DAP merangkap Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng; veteran DAP, Lim Kit Siang serta pemimpin PH dan UMNO negeri.

Ketika diminta mengulas berapa kerusi yang diminta untuk calon UMNO, Musa menegaskan pihaknya bincang bukan minta kerusi.

“Kita tak minta (kerusi), kita bincang pembahagian,” katanya.

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai dakwaan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa Perikatan Nasional mampu memenangi semua kerusi Melayu di negeri ini, Musa tidak mahu komen lanjut sebaliknya meminta melihat keputusan ketika PRN nanti.

“Tak apa hat tu (perkara) dia (Muhammad Sanusi) kata. Kita jangan ikut dia, kalau kita jawab kita sama perangai macam dia.

“Biar dia cara dia, kita cara kita. Jika masing-masing nak serang balas sampai bila isu ini tak akan habis.

“Cuma apa yang boleh saya nyatakan tunggu pilihan raya kita lihat berapa kerusi kita menang dan dia menang,” katanya.

Sementara itu, Kon Yeow menegaskan rundingan pembahagian kerusi PRN antara PH dan UMNO akan diteruskan sehingga ia selesai.

Kon Yeow.

“Ada kerusi yang boleh dipersetujui, ada yang masih masih dalam ruang rundingan.

“Ini kerana kita bukan boleh mengadakan mesyuarat dua hingga tiga jam serentak memandangkan ada perkara yang dibangkitkan perlu dibawa kepada jawatan kuasa masing-masing.

“Jadi rundingan akan diteruskan sehingga kita capai persetujuan,” kata Kon Yeow.

Rundingan antara PH dan BN  tertumpu di 15 kerusi majoriti Melayu di negeri itu.

Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan PRU-14, PH memenangi 37 kerusi, termasuk kerusi-kerusi DUN daripada calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang ketika itu masih menjadi sebahagian daripada PH.

BN pula hanya menang dua kerusi DUN iaitu Sungai Dua dan Permatang Berangan manakala Pas mempunyai satu kerusi iaitu Penaga. – MalaysiaGazette