Nik Abduh Nik Abdul Aziz

 

KUALA LUMPUR – Pertemuan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini tidak mempunyai kaitan dengan pendirian politiknya.

Sebaliknya, bekas Ahli Parlimen Bachok itu menjelaskan, pertemuan itu sekadar menyambung persahabatan bapanya, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Menyambung persahabatan dengan kawan-kawan ayah kita adalah sunnah Rasulullah  termasuklah dengan keluarga dan rakan-rakan mereka.

“Kemudian, kebaikan hendaklah dihargai, kemudian biarkannya bersambungan. Tidak putus-putus. Itu pun sunnah baginda,” jelasnya dalam hantaran di Facebook.

Nik Abduh berkata, antara dua insan besar itu, ada persamaan dalam perjuangan politik mereka, malah ada juga perbezaan.

Tetapi perbezaan lebih besar, oleh sebab itu Nik Aziz dan Anwar berbeza parti politik.

“Mereka pernah berselisih, tetapi persamaan yang ada mampu untuk tidak memanjangkan perselisihan itu.

“Begitulah saya. Perbezaan kekal. Persamaan mendekatkan. Jalan saya adalah jalan ayahanda saya. Islam adalah penyelesaian. Itulah universiti politik Kelantan,” ujar beliau lagi.

Namun beliau menafikan segala desas-desus yang wujud daripada pertemuan itu.

“Itu debu. Jaga mata anda. Tak sakit pun, kabur jadinya,” katanya penuh makna selepas pertemuan tersebut menimbulkan pelbagai spekulasi. – MalaysiaGazette