Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim hadir ke persidangan Dewan Rakyat pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 14 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Sesi Dewan Rakyat yang bermula hari ini kecoh susulan kenyataan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang menyebut nama kerajaan ‘Tan Sri Muhyiddin Yassin’.

Ia berlaku sebaik sahaja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selesai menjawab pertanyaan soalan lisan, Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) yang bangun sambil membawa Peraturan Mesyuarat 36 (5) dengan berkata, seseorang tidak dibenarkan menyebut nama Ahli Dewan lain, sebaliknya perlu menyebut nama kawasan yang diwakili.

Bagaimanapun, ia tidak mendapat perhatian Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong yang meminta sesi persidangan itu diteruskan kepada soalan Gobind Singh Deo (PH-Damansara).

Situasi itu menyebabkan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) tidak berpuas hati lalu bangun menyuarakan bantahan terhadap insiden berkenaan.

“Yang Berhormat Speaker, peraturan mesyuarat telah dikeluarkan, kalau tak setuju sebut tak setuju,” kata Shahidan.

Alice kemudiannya berkata, Shahidan seharusnya bangun dengan membawa Peraturan Mesyuarat sebelum bangkit mempersoalkan keputusan beliau.

“Saya berdiri di bawah Peraturan 36(6). Bagan (Guan Eng) menyebut nama Tan Sri Muhyiddin. Dia tak boleh sebut nama begitu, (tetapi) dia kena sebut nama kawasan (Parlimen) Pagoh. Dia bersangka jahat kepada Tan Sri Muhyiddin,” kata Shahidan.

Gobind kemudiannya menjelaskan kenyataan Guan Eng adalah berkisar tentang kerajaan seseorang.

“Apa yang disebut oleh Bagan (Guan Eng) ialah kerajaan seseorang itu, bukan nama seseorang dalam dewan ini. Apakah masalahnya? Kita nak teruskan soalan saya. Kita datang ke Parlimen, saya nak tanya soalan, saya nak minta jawapan.

“Kenapa dibiarkan begitu? Yang berdiri (Shahidan) minta panduan untuk standing order (peraturan mesyuarat), dia yang tak faham standing order. Boleh kita teruskan dengan soalan?,” soalnya.

Shahidan bagaimanapun tidak menerima alasan tersebut dan menyatakan tidak bertanyakan soalan itu kepada Gobind.

Pertikaman lidah antara Shahidan dan Gobind itu berlangsung selama seminit apabila ia kemudiannya dapat ditenteramkan oleh Alice. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.