Foto ADUN Pembangkang yang dikongsi Razman di media sosial.

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang Perak, Razman Zakaria mengesahkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerajaan bertemu dengan beliau.

Razman berkata, menjadi kebiasaan beliau untuk bertemu dengan ADUN Kerajaan bagi berbincang dan bertukar fikiran.

“Respon kepada kenyataan YAB Menteri Besar Perak pagi tadi mengenai dengan beberapa ada beberapa ahli dewan negeri yang datang pada saya.

“Saya mengesahkan perkara itu, dan memang menjadi kebiasaan untuk saya dan beberapa ahli dewan negeri tersebut saling bertukar fikiran berbincang mengenai politik semasa di negeri Perak,” katanya dalam kenyataan.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad pagi tadi mengadakan sidang akhbar dan menegaskan kerajaan negeri Perak pimpinannya masih kukuh dengan sokongan majoriti daripada 32 ADUN.

Pengerusi Barisan Nasional negeri itu berkata, tindakan Razman menyebut terdapat beberapa ADUN kerajaan bertemunya hanya untuk mewujudkan persepsi negatif.

“Kenapa kerajaan campuran Perak pada hari ini seolah-olah ‘risau’ akan keabsahan kerajaan yang ada sehingga YB Hulu Kinta mencabar saya buktikan.

“Bukankah kerajaan campuran yang dianggotai UMNO, DAP pada hari ini mempunyai hubungan yang amat erat?

“Kestabilan politik ini perlu diperjelaskan oleh Dato Seri Saarani Mohamad selaku Pengerusi BN Perak dan UMNO Perak, apakah UMNO akan meneruskan kerjasama dengan DAP buat selama-lamanya? Itukah yang dimaksudkan dengan kestabilan politik?” soal beliau.

Sementara itu, Razman yang juga ADUN Gunung Semanggol berkata, pembangkang di Perak bersedia untuk mengambilalih kerajaan negeri jika pertukaran berlaku di negeri tersebut.

Menurut beliau, pihaknya akam memastikan pertukaran kerajaan berlaku mengikut lunas undang-undang.

“Pertukaran kerajaan bukan luar biasa, pernah satu penggal sehingga berlaku 3 kali perubahan pentadbiran.

“Ingin saya jelaskan bahawa pihak kami tidak meminta untuk berlaku pertukaran kerajaan tetapi apabila berlaku, kami bersedia dan kami sudah pasti untuk mengikut lunas undang-undang tubuh kerajaan negeri Perak,” kata.

Saarani dalam sidang media pagi tadi berkata, sebagai ketua pembangkang, setiap kenyataan yang dibuat perlu bertanggungjawab dengan mengambil kira kesan kepada ekonomi negeri bukan menggambarkan kerajaan negeri tidak stabil.

Tegasnya, tidak ada mana-mana ADUN kerajaan yang ingin bertukar sokongan kepada pembangkang, tambahan pula mereka terikat dengan akta berkaitan antilompat parti.

Menerusi laporan media, Razman mendedahkan bahawa beberapa ADUN kerajaan bertemunya di sebalik khabar angin bahawa kerajaan negeri Perak akan tumbang pada bulan Julai ini.

Razman bagaimanapun enggan mendedahkan nama ADUN berkenaan dan mengalu-alukan jika benar ADUN kerajaan berkenaan mahu menyokong atau bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) di Perak.

Kerajaan negeri Perak yang ditadbir oleh parti Pakatan Harapan dan Barisan Nasional mempunyai sokongan 33 orang ADUN manakala pembangkang yang diterajui PN mempunyai 26 ADUN.-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Udah2 la lebai.. tak penat2 ka… Dah kemaruk kuasa tu sabar le sikit. Tunggu je la next pilihanraya.

Comments are closed.