Konsert ‘Music Fest with Shankar Mahadevan’ di Mega Arena KL Sabtu lepas.

KUALA LUMPUR – Pemuzik terkenal India, Shankar Mahadevan yang baharu sahaja selesai mengadakan konsert Music Fest with Shankar Mahadevan’ di ibu kota begitu berat hati dan sayu untuk pulang kembali ke India.

Walaupun hampir seminggu di sini, beliau begitu ‘menggilai’ pelbagai juadah makanan di negara ini.

Ketika ditemubual wartawan MalaysiaGazette, lagenda pemuzik yang mempunyai jutaan peminat seluruh dunia, mengakui begitu teruja dengan kepelbagaian dan keharmonian di Malaysia.

Shankar Mahadevan dan isteri ditemuramah wartawan MalaysiaGazette.

“Anda tahu, saya begitu berat hati untuk pulang. Saya beritahu isteri saya yang saya hendak pindah ke sini kerana makanan pelbagai rasa dan ‘fusion’ berbeza. Bayangkan saya telah cuba macam-macam makanan dan semuanya sungguh sedap tidak terkata.

“Saya cuba makanan Melayu, Cina, India, dan juga kaum-kaum lain. Nasi kandar sangat sedap, pelbagai masakan di sekitar Jalan Alor Bukit Bintang. Sebelum balik, saya hendak beli beberapa masakan terutamanya rendang ayam nanti. Ada lagi makanan, ikan bakar, sate semuanya saya cuba.

“Budaya dan bahasa juga sangat mengagumkan saya. Saya cuba belajar beberapa perkataan setiap hari, persekitaran, permandangan, peminat-peminat yang begitu teruja dan mampu menyanyi dengan begitu baik sekali. Di sini, ‘energy’ sungguh hebat sukar diungkap dengan kata-kata. Saya sudah jatuh hati dengan Malaysia,” katanya memulakan bicara.

Shankar yang mempunyai akademi muziknya sendiri di 90 buah negara turut  berhasrat untuk membuka satu di negara ini.

“Saya lihat di sini ramai yang mempunyai pelbagai bakat yang boleh asah dengan baik, saya memang terkejut dan cukup teruja melihat bakat-bakat ini, kerana itu juga saya sudah memulakan perbincangan dengan kawan untuk membawa masuk akademi saya secara fizikal.

“Muzik adalah sesuatu yang indah dan tidak semua memiliki bakat semulajadi itu. Kadangkala kita tidak sedar tentang bakat mereka sehingga kita asah dan kembangkannya. Itulah yang akan saya buat selepas ini.

“Pada masa sama, saya juga sudah merancang untuk menghasilkan album dalam bahasa rasmi di sini, Bahasa Malaysia dan diadun dengan muzik alunan India, hebat kan? Kemudian ia dinyanyikan oleh artis di sini. Ini bukan omong kosong tetapi sesuatu yang akan saya lakukan dalam masa terdekat, anda nantikan,” katanya sambil tersenyum.

Untuk makluman, konsert Shankar yang diadakan di di Mega Star Arena Kuala Lumpur anjuran syarikat pengurusan acara terkenal, My Events International telah menarik hampir 5,000 hadirin.

Konsert itu turut diserikan oleh artis-artis terkenal selatan India Selatan seperti Super Singers.

Konsert hampir lima jam itu menjadi bualan mulut para peminatnya dan mahu Shankar adakannya sekali lagi.

Shankar Mahadevan, 56, memulakan karier sebagai penyanyi kemudian bergelar komposer muzik mula berjinak dengan dunia muzik sejak awal tahun 90-an lagi dan sudah menyanyi dan menggubah lagu untuk lebih ratusan filem Tollywood, Mollywood, Bollywood serta banyak lagi. – MalaysiaGazette