Ahmad Zahid.

BAYAN LEPAS – Semua parti komponen Barisan Nasional (BN), khususnya MCA, diingatkan supaya tidak berkecil hati dengan kerjasama yang dijalinkan dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk Kerajaan Perpaduan.

Sebaliknya, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, semua parti komponen perlu menyantuni keberadaan parti lain dalam kerajaan bagi meraih dokongan ahli dan bukan ahli.

“Saya tidak mahu mana-mana parti berkecil hati bila kita bekerjsama secara smart partnership ini. Tetapi perkukuhkanlah parti masing-masing untuk memperolehi dokongan daripada ahlinya serta pengundi yang bukan ahlinya.

“Ia untuk berikan impresion yang positif kepada partinya bukan advers consequences yang berlaku disebabkan oleh perkara yang lampau.

“Jadi memperkukuhkan parti masing-masing untuk daya sokongan yang lebih tersebar luas itu lebih penting daripada melayani parti yang berkecil hati,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon yang mengingat BN supaya meletakkan kepentingan parti komponen dalam BN dan bukannya mengutamakan PH khasnya DAP.

Terdahulu, Ahmad Zahid merasmikan Persidangan Semicon Asia Tenggara 2023 di Spice Arena di sini, hari ini.

Ahmad Zahid bersama Kon Yeow pada Persidangan Semicon Asia Tenggara 2023 di Spice Arena, Pulau Pinang hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid mengingatkan, setiap parti komponen BN sama ada yang teras seperti UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) serta parti bersekutu lain supaya sentiasa diperkasakan.

“Parti komponen BN perlu berpegang utuh kepada prinsip, selain berwaspada dalam hal berkaitan kerjasama antara kedua-dua gabungan.

“Kerjasama semua parti komponen BN penting namun realiti politik baru dalam Kerajaan Perpaduan kita harus menyantuni keberadaan parti dari kolobrasi ini yang mana terdapat 19 parti yang ada didalamnya,” jelas beliau.

Media semalam melaporkan MCA mengingatkan Ahmad Zahid agar berpegang kepada prinsip dan berhati-hati dalam segala perkara berkaitan hubungan atau kerjasama antara BN dan Pakatan Harapan (PH).

Menurut Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon, Ahmad Zahid haruslah menjaga kepentingan dan mengutamakan parti-parti komponen BN, bukannya PH terutamanya DAP.

“Kerjasama antara BN dan PH perlulah ada timbal balas dan menguntungkan kedua-dua pihak,” katanya. – MalaysiaGazette