KUALA LUMPUR – Pemberian sagu hati setahun sekali kepada ahli lembaga pengarah Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) merupakan prosedur biasa dalam syarikat berkenaan.
Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan, Mohamad Kamal Mohamed berkata, sagu hati tersebut adalah bagi menghargai kerja-kerja memerah minda dalam memberikan pandangan dan keputusan-keputusan dasar kepada pengurusan.
“Lagi pula sebahagian besar lantikan ahli lembaga pengarah iaitu tujuh daripada sembilan orang adalah anggota yang profesional dalam aspek pengurusan dan teknikal air yang tiada apa-apa jawatan dalam parti,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Terdahulu, tular dalam media sosial salinan dokumen sulit yang menyatakan, setiap ahli lembaga pengarah AKSB diberi sagu hati sempena Hari Raya Aidilfitri sebanyak RM10,000.
Kakitangan AKSB pula menerima sagu hati sebanyak RM200 seorang manakala setiausaha syarikat diberi RM2,000.
Berhubung perbezaan jumlah sagu hati yang besar antara ahli lembaga pengarah dan kakitangan, Mohamad Kamal menyifatkan perkara itu tidak berbangkit.
Menurut beliau, sebelum perkara tersebut tular, langkah penambahbaikan telah dibuat oleh pengurusan AKSB untuk kebajikan kakitangan bagi menghadapi hari raya Aidilfitri seperti penjawat awam yang lain.
Mohamad Kamal juga kesal dengan perbuatan pihak yang menularkan salinan dokumen tersebut dengan tujuan memberi persepsi negatif terhadap AKSB.
“Jikalah orang Pas sejahat mereka yang menyebarkan dokumen sulit dan berniat memburukkan kerajaan, boleh sahaja didedahkan bayaran-bayaran one off bersifat setahun sekali kepada ahli lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Persekutuan yang bukan sedikit juga jumlahnya termasuk syarikat air negeri-negeri,” jelasnya.
Pada masa yang sama, beliau masih optimis dengan tatakelola yang baik bukan sahaja menjauhi rasuah tetapi juga melibatkan soal integriti termasuk tindakan mereka yang berniat jahat mendedahkan sesuatu yang secara pentadbirannya biasa diamalkan.
Sehubungan itu, Mohamad Kamal mencadangkan agar AKSB menyiasat kebocoran dokumen sulit dalam kalangan kakitangan dan mendakwa individu yang mencanangkan prosedur dalaman kepada hebahan awam dengan niat secara tidak baik.
“Dokumen sulit itu adalah dokumen yang dikelaskan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972,” jelasnya. – MalaysiaGazette