Antara barang rampasan dari judi antarabangsa haram oleh Bukit Aman

KUALA LUMPUR – Satu sindiket antarabangsa yang aktif dalam kegiatan perjudian dalam talian dan pengurup wang digital haram yang mensasarkan mangsa warga Taiwan berjaya ditumpaskan pihak berkuasa Polis Diraja Malaysia.

Seramai 40 individu termasuk tempatan  dan asing disyaki terlibat dalam kegiatan itu berjaya diberkas.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia  Deputi Komisioner Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, sindiket haram itu ditumpaskan menerusi beberapa serbuan yang dijalankan di sekitar ibu negara dan Selangor pada 19 Mei yang lalu.

Katanya, serbuan dijayakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman dengan kerjasama National Anti-Financial Crime Centre(NFCC).

“Hasil serbuan yang dijalankan, pasukan Bukit Aman berjaya menangkap seramai 40 individu yang terdiri daripada 17 lelaki dan seorang wanita warga tempatan, 15 lelaki dan enam wanita warga China serta seorang lelaki warga Singapura dipercayai mendalangi kegiatan haram antarabangsa itu.

Antara barang rampasan dari judi antarabangsa haram oleh Bukit Aman

“Kesemua suspek yang ditaham itu berumur antara 20 hingga 58 tahun,” katanya dalam kenyataan kejayaan yang dikeluarkan pada hari ini.

Tambah beliau, hasil daripada serbuan dan tangkapan suspek berkenaan pasukan polis berjaya merampas beberapa barang berharga hasil kegiatan judi antaranya 88 buah telefon bimbit, wang tunai RM29,587 dan USD5,000.00, seketul jongkong berwarna keemasan, tiga buah kereta, tiga utas jam tangan, tiga beg tangan, pelbagai jenis barang kemas dan pelbagai set komputer.

Katanya,hasil siasatan lanjut juga mendapati sindiket berkenaan menyediakan platform judi dalam talian yang mensasarkan warga Taiwan sebagai mangsa mereka.

“Pelanggan yang berminat untuk bertaruh dalam platform judi online itu dikehendaki membuat pindaan wang ke akaun keldai yang dipercayai berpengkalan di China.

Antara barang rampasan Bukit Aman daripada sindiket perjudian antarabangsa yang ditumpaskan baru baru ini.

“Setelah pindaan wang selesai dibuat, pelanggan akan diberikan “points” untuk digunakan di platform perjudian yang disediakan sindiket antarabangsa itu,” ujarnya.

Beliau juga menegaskan bahawa siasatan lanjut polis juga mendedahkan bahawa sindiket berkenaan juga menjalankan kegiatan pengurupan wang digital tanpa lesen dengan melakukan penukaran wang yang diterima dari negara China kepada Mata Wang Kripto (USDT).

Jelasnya, sindiket itu akan menghantar semula matawang Kripto itu ke negara China dan sunber wang diterima oleh pihak sindiket masih dalam siasatan.

“Kesemua suspek kini direman bermula 20 Mei hingga 25 Mei ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA)2001,” kata beliau. – MalaysiaGazette