Reaksi Ketua Jurulatih pasukan Thailand, Akira Nishino selepas tewas pada perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 di antara Malaysia menentang Thailand dengan berkesudahan 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 14 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan Thailand, Akira Nishino dilaporkan menjadi pilihan untuk mengisi jawatan sebagai Pengarah Teknikal, Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI).

Nama Nishino menjadi sebutan setelah PSSI dan Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) menandatangani MoU sebagai satu bentuk kerjasama antara kedua-dua negara, baru-baru ini.

Menurut laporan media tempatan, Nishino dianggap salah satu calon yang tepat untuk menggalas tugas tersebut dimana fokus utama ialah meningkatkan mutu bola sepak wanita Indonesia.

“Semoga kerjasama ini berjalan dengan baik dan memberi hasil untuk bola sepak negara kita. Yang pertama, kita harus fokus mengenai bola sepak wanita.

“Jepun mempunyai rekod yang baik bagi skuad wanita di pentas antarabangsa dan ini yang mahu kita pelajari. Kalau ada jurulatih dari Jepun, kita boleh fokuskan pasukan wanita,” kata Ketua Umum PSSI, Erick Thohir.

Selain pembangunan bola sepak wanita, terdapat tiga lagi fokus utama kerjasama antara PSSI dan JFA iaitu mengenai saingan Liga 1, fasiliti bola sepak Indonesia termasuk VAR dan pembangunan pusat latihan untuk skuad kebangsaan.

Nishino merupakan jurulatih Jepun yang mempunyai pengalaman luas di pelbagai peringkat usia di mana dia pernah menjadi jurulatih skuad Jepun B-20, B-23 dan juga pasukan senior.

Selain itu, pengendali berusia 68 tahun itu pernah menjadi Pengarah Teknikal JFA dari 2016 hingga 2018 dan kali terakhir menjadi jurulatih Thailand pada 2019 hingga 2021. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast