Gamba hiasan

KUALA LUMPUR – Kos untuk merawat penyakit baharu yang dikesan kerana menghisap vape iaitu Electronic Vape Associated Lung Injury (EVALI) dianggarkan mencecah sebanyak RM150,000 bagi tempoh 12 hari kemasukan ke wad.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, sejak 2022 hingga kini sebanyak 38 kes akibat menghisap vape telah dilaporkan kepada kementerian.

“Penggunaan rokok elektronik atau vape sungguh pun pada awalnya ia dicipta sebagai alternatif yang dikatakan lebih selamat daripada rokok tembakau namun kajian-kajian saintifik terkini telah membuktikan rokok alaf baharu termasuk rokok elektronik atau vape adalah tetap berbahaya.

“Pelbagai kajian saintifik yang dilaksanakan menemui banyak kesan buruk akibat penggunaan rokok elektronik atau vape terhadap kesihatan.

“Terkini sebanyak 18 kes EVALI dan 20 kes lain berkaitan penggunaan rokok elektronik telah dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia semenjak 2022,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalah Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling Chai Yew yang meminta kementerian menyatakan kesan baik dan buruk penggunaan vape.

Beliau turut ingin mengetahui sama ada kementerian akan mengehadkan vape supaya tidak mempunyai pembungkusan dan perisa yang menarik.

Menurut Zaliha, tiada sebarang standard yang ditetapkan bagi keselamatan cecair rokok elektronik.

Ini kerana tiada had yang selamat untuk bahan-bahan kimia yang terkandung di dalam cecair rokok elektronik atau vape tersebut.

KKM bercadang untuk meneruskan pembentangan Rang UndangUndang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam.

Melalui RUU tersebut, kawalan menyeluruh terhadap produk rokok elektronik atau vape akan dapat dilaksanakan termasuk larangan terhadap produk dan pembungkusan yang menyerupai permainan kanak-kanak.

Kawalan terhadap perisa yang boleh menarik perhatian kanak-kanak dan remaja menggunakan produk ini juga boleh dilaksanakan melalui RUU ini.-MalaysiaGazette