Syarikat Sealegs International Ltd dengan kerjasama Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) Pahang membawa dua bot amfibia bagi menyertai Pameran Antarabangsa Marintim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA 2023)

KUANTAN – Dua bot ambifia bernilai RM1.8 juta milik Kerajaan Negeri Pahang dipamerkan dalam Pameran Antarabangsa Marintim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA 2023) bagi mempromosi industri pembuatan bot amfibia dalam negara.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kedua-dua bot dipamerkan di pusat pameran dan Langkawi Royal Yatch Club bermula 23 Mei sehingga 27 Mei ini.

Langkah tersebut dimanfaatkan bagi menarik lebih ramai pelabur bagi industri pembuatan bot amfibia kepada para prospek berpotensi serta mampu memberikan peluang pekerjaan dalam sektor itu.

”Syarikat Sealegs International Ltd dengan kerjasama Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) Pahang membawa dua bot amfibia pada 21 Mei lalu, kita mengambil peluang untuk mempromosikan dan memberi peluang sesi pandu uji pada pameran LIMA kali ini.

”Kini teknologi bot amfibia sudah ada dalam negara kita sendiri dan bertempat di Pahang. Tidak perlu lagi nak ke New Zealand di mana pembuatan, servis termasuk pemasaran sudah ada di Malaysia.

”Selain itu penglibatan Pahang pada kali ini juga bagi mempromosikan Lapangan Terbang Baharu dan Bandar Aeroangkasa bagi meningkatkan tarikan pelaburan negeri Pahang,” katanya ketika dihubungi.

Wan Rosdy kini berada di Langkawi bagi memberikan sokongan kepada penyertaan Pahang dalam LIMA 2023 yang merupakan acara sektor komersial maritim serta aeroangkasa bertaraf dunia.

LIMA 2023 bermula 23 Mei lalu dianggap sebagai terbesar dalam sejarah penganjurannya selepas berjaya menarik 525 pempamer mewakili 140 syarikat dari seluruh dunia pada tahun ini.

LIMA edisi ke-16 disertai 119 pesawat yang menyertai pameran statik dan aerobatik, selain 40 kapal tentera laut dari dalam dan luar negara.dan kali terakhir ia diadakan pada 2019.

Tambah Wan Rosdy, sambutan yang diberikan kepada pelabur dan prospek dilhat menggalakkan sejak dari hari pertama pameran yang diusahakan bersama Gading Marine Venture.

Bot Amfibia milik Kerajaan Negeri Pahang

Orang ramai boleh berkunjung ke Langkawi Royal Yatch Club untuk sesi pandu uji bot amfibia yang bernilai RM900,000  berspesifikasi 7.5 meter panjang x 3.5 meter lebar x 2.5 meter tinggi serta boleh dilancarkan tanpa menggunakan sistem docking dan hanya menggunakan ram sahaja.

Terdahulu pada 8 Mac lalu, Kerajaan Negeri Pahang melalui PSK telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) bernilai lebih RM500 juta dengan Sealegs International dan menjadikan negeri Pahang sebagai pusat pembuatan dan pusat servis dan pemasaran pertama di Asia Tenggara.

Wan Rosdy memaklumkan, kerajaan negeri akan terus melaksanakan usaha-usaha bagi menangani banjir di Pahang selain daripada penggunaan bot amfibia.

Sebelum itu, pada 4 Januari lalu, serahan bot amfibia dilakukan bagi meningkatkan kompetensi pengurusan banjir di negeri ini menjadikan Pahang negeri pertama memiliki bot berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast