Seorang operator kilang maut selepas digilis dan diseret sebuah lori dalam nahas di Kilometer 183 Lebuh Raya PLUS (arah utara) di sini malam tadi.

JASIN – Seorang operator kilang maut selepas digilis dan diseret sebuah lori dalam nahas di Kilometer 183 Lebuh Raya PLUS (arah utara) di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam itu, mangsa, Muhammad Nur Aliffi Mulyani, 27, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, ketika kejadian, terdapat sebuah lori jenis Hino yang rosak dan berhenti di bahu kiri lebuh raya.

“Sebaik tiba di lokasi, mangsa yang ketika itu menunggang motosikal jenis Yamaha Y16ZR di lorong kiri tidak menyedari kedudukan lori tersebut sebelum merempuhnya.

“Akibatnya, mangsa yang menunggang telah tercampak di tengah jalan di lorong kiri dan pada masa sama datang sebuah lori lain jenis merempuh mangsa.

“Lori jenis Daihatsu Delta itu tidak sempat brek lalu menggilis dan mengheret mangsa sejauh lima meter,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Ahmad Jamil, akibat pelanggaran itu mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan dan mayat dihantar ke Hospital Jasin untuk proses bedah siasat

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette