Jailani (kiri) ketika hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PN Melaka di Jasin Bestari, Sabtu lalu.

MELAKA – Pas Melaka terbuka untuk menerima sesiapa sahaja termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini untuk menyertai parti itu.

Setiausaha Badan Perhubungannya, Asri Shaik Abdul Aziz berkata, mereka tidak melihat hasrat itu menjadi halangan besar kepada Pas yang menjadi sekutu dalam Perikatan Nasional (PN).

“Pas Melaka mengikuti dengan dekat perkembangan berita kemungkinan ada ADUN Melaka akan menyertai kami dan tidak melihat sebarang halangan untuk menerima sesiapa sahaja bersama Pas Melaka.

“Sebagai perjuangan politik Islam, kami mengalu-ngalukan sesiapa sahaja yang menerima Islam sebagai cara hidup yang lengkap dan penyelesaian kepada masalah negara yang berpunca dari kegagalan mendukung prinsip-prinsip politik Islam dalam Pentadbiran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Asri Shaik, Pas sentiasa menjunjung politik bebas rasuah, bebas salahguna kuasa dan urus tadbir yang jujur dan berintegriti.

Sabtu lalu, MalaysiaGazette melaporkan Pengerusi PN Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata, parti itu bukanlah untuk mana-mana wakil rakyat Barisan Nasional (BN) mahu menyelamatkan diri atau mengharapkan jawatan.

Parti itu bagaimanapun mengalu-alukan wakil rakyat BN untuk menyertai mereka sekiranya mereka benar-benar ikhlas dan mahu membantu rakyat.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PN Melaka di Jasin Bestari yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia daripada BN, Datuk Muhammad Jailani Khamis.

Perkara itu, seolah-olah tidak lagi menjadi rahsia apabila bekas Exco Melaka itu sebelum ini turut menghadiri rumah terbuka Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin daripada PN.

Media turut melaporkan terdapat khabar angin terdapat seorang ADUN Barisan Nasional (BN) akan menyertai Pas.

Jailani yang merupakan Exco Melaka ketika pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai ketua menteri sebelum ini tidak dicalonkan semula menjadi Exco selepas Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 pada 31 Mac lalu.

Sebelum ini, Jailani menyifatkan pelantikan Ab Rauf sebagai ketua menteri menggantikan Sulaiman adalah tindakan mungkir janji manifesto UMNO dan BN pada Pilihan Raya Negeri Melaka 2021.

Pada Mac 2020, beliau antara empat wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) di Melaka yang bertindak menyokong gabungan PN selepas mendakwa hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan ketua menteri ketika itu, Adly Zahari menyebabkan kerajaan PH Melaka tumbang.

Beliau sebelum ini adalah pemimpin daripada PKR daripada gabungan PH dan telah mengambil keputusan untuk keluar parti sebelum menyokong kerajaan campuran BN dan PN di Melaka.

Pada 2021, Jailani kembali menyertai UMNO selepas lima tahun meninggalkannya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Saya tak tahu Jailani mahu masuk PN – Ab Rauf