Ahmad Maslan.

KUALA LUMPUR – UMNO tidak pernah melontarkan tuduhan kafir kepada pemimpin Pas dan Bersatu ketika kedua-dua parti itu bekerjasama dengan DAP.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ini kerana kerjasama dengan DAP tidak melibatkan sebarang perubahan akidah.

“Saya ingin maklumkan Pas pernah bersama DAP dalam gabungan Pakatan Rakyat. Bersatu pernah dengan DAP. Presiden Pas pernah sebut undi calon DAP, Presiden Bersatu juga pernah sebut undi calon DAP.

“Kami tak pernah mengkafirkan mereka. Ia tiada kaitan dengan akidah pun. Apabila DAP telah menandatangai apa yang dipanggil sebagai Deklarasi Malaysia Baru pada 2019 mereka mengakui empat perkara Islam, Melayu, Raja, Bahasa (ini) boleh dirujuk dalam laman web mereka.

“Ini menunjukan bahawa tidak ada perkara yang ada kaitan dengan akidah dan sebagainya,” kata Ahmad.

Beliau mengulas mengenai hantaran seorang individi di media sosial yang menuduh dirinya sebagai kafir selepas media melaporkan beliau meminta ahli UMNO mengundi DAP.

Ahmad menyifatkan tuduhan itu sebagai melampau berbanding pelbagai kejian yang diterima sebelum ini.

Tambah Timbalan Menteri Kewangan itu, laporan polis yang dibuat oleh beberapa pihak mengenai hantaran berkenaan hari ini bukan atas arahannya.

“Saya sebenarnya telah banyak kali dikecam sebelum ini oleh media sosial tapi tak pernah membuat laporan polis. Tapi kali ini tak meminta sesiapa buat laporan polis bagaimanapun atas kehendak mereka buat laporan polis.

“Oleh kerana terlampau sangat dilakukan mengubah muka saya menjadi khinzir dan menulis perkataan kafir di atas wajah itu.

“Hanya kerana saya membuat satu kenyataan hasil daripada pertanyaan media pada hari Jumaat lepas,” kata Ahmad.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen selepas majlis menandatangani Perjanjian Penghapusan Cukai Dua Kali Mengenai Cukai Atas Pendapatan Pencegahan Pelarian dan Pengelakan Cukai dengan Timbalan Menteri Kewangan Maldives.

Ahmad menjangka polis akan menyiasat dan laporan terhadap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah dibuat untuk menyiasat pengendali sebenar Facebook terbabit.

MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan, Facebook yang menggunakan akaun bernama Kamarul Aripin Lamin menggelarkan Ahmad sebagai kafir dan murtad.

Kamarul Aripin Lamin membuat hantaran itu selepas Ahmad dilaporkan meminta ahli UMNO supaya mengundi calon-calon Kerajaan Perpaduan termasuk dari DAP pada pilihan raya di enam negeri nanti.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. hello Ahmad Maslan KAU nak kafirkan PAS celah mana? Dalam UMNO kau faham-faham la amalan mungkar tu camner.. tu sebab TIADA SEBAB UMNO tiada Kelayakan dalam Urusan tersebut.
    goodbye Zahid Hamidi sayonara

Comments are closed.