Wajah Ernie Zakri kini menghiasi papan iklan digital gergasi di New York Times Square, Amerika Syarikat.

KUALA LUMPUR – Penyanyi bervokal mantap, Ernie Zakri kini menghiasi papan iklan digital gergasi di New York Times Square, Amerika Syarikat (AS).

Antara wajah yang pernah menghiasi papan iklan digital gergasi itu termasuklah Yuna, Datuk Siti Nurhaliza, Dolla, Aina Abdul, Kaka Azraff, Layla Sania, Iman Troye, Aisha Retno, Vanessa Reynauld dan ramai lagi.

Penyanyi lagu Boneka itu meluahkan rasa gembira dan tidak menyangka kini tiba gilirannya menghiasi papan digital yang menjadi idaman ramai itu dan menganggap peluang keemasan itu sebagai kejayaan terbesar dalam kerjaya.

“Semestinya, saya sangat gembira dengan peluang ini dan ia salah satu kejayaan terbesar dalam kerjaya saya sebagai penyanyi solo.

“Saya tidak pernah terbayang wajah saya akan terpampang di papan iklan digital New York Times Square yang dikenali seluruh dunia,” ujar Ernie.

Ernie berkongsi 2023 melakar banyak kenangan manis buatnya secara peribadi.

Malah, katanya, dia mempunyai banyak perancangan sepanjang tahun ini.

“Saya bercadang menghasilkan lebih banyak lagu dan mungkin, album pada penghujung tahun ini. Banyak yang sudah dirancangkan, jadi tolong doakan semuanya dimudahkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Penampilan Ernie pada papan iklan digital itu sebagai wakil penyanyi Malaysia dalam kempen Equal oleh wadah penstriman muzik digital, Spotify.

Equal adalah program anjuran Spotify yang memperjuangkan kesamaan dalam mengetengahkan artis wanita dari seluruh dunia.

Sejajar tema itu, Ernie sempat mengulas mengenai topik berkenaan.

“Saya sentiasa ingin menjadi versi terbaik diri saya. Kebanyakan lagu adalah berkaitan pemerkasaan wanita dan inilah yang ingin saya laungkan.

“Mimpi boleh menjadi kenyataan jika bekerja dengan bijak. Banyak yang saya pelajari.

“Dahulu, saya fikir bekerja keras adalah kunci segala-galanya tetapi kini selepas bergelar ibu dan isteri, saya mengerti perlu bekerja dengan bijak jika ingin mengecapi keseimbangan dalam hidup serta kerjaya,” katanya.

Pemenang Vokal Terbaik, Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-32 bersama suaminya, Syamel mengakui penat lelah selama ini membuahkan hasil.

Sebanyak 35 senarai lagu Equal membabitkan artis daripada 50 negara dan Ernie adalah salah seorang wakil bagi senarai lagu Equal Malaysia dan Singapura.

Selain itu, terdapat juga senarai Lagu Terbaik Global Equal yang menyenaraikan penyanyi Equal mewakili muzik dari artis sejagat seluruh dunia. – MalaysiaGazette