CHEYENNE – Taman Negara Yellowstone membunuh seekor bison yang baru lahir di negeri Wyoming, Amerika Syarikat selepas seorang pelawat sengaja menyentuh haiwan itu.
Pelawat itu cuba membantu anak haiwan itu menyertai kumpulan binatang tersebut selepas ia dipisahkan daripada ibunya, menurut taman negara.
Kawanan itu menolak anak bison berkenaan walaupun ia cuba berulang kali disatukan oleh renjer.
Yellowstone kini sedang menyiasat kejadian itu.
Anak bison itu terpaksa dibunuh kerana ia menghampiri kereta dan orang ramai di jalan raya, “menyebabkan keadaan berbahaya”, kata taman itu pada hari Selasa.
“Seorang lelaki kulit putih yang tidak dikenali dalam lingkungan 40-50-an, memakai baju biru dan seluar hitam” menghampiri bison yang baru lahir pada hari Sabtu selepasia terpisah daripada kumpulannya ketika cuba menyeberangi Sungai Lamar.
“Ketika anak bison itu bergelut, lelaki itu menolaknya ke atas dari sungai dan ke jalan raya,” kata taman itu.
Haiwan yang baru lahir itu kemudiannya dilihat di jalan raya di sekitar kenderaan dan pengunjung.
Campur tangan orang boleh menyebabkan kawanan menolak keturunannya.
“Mendekati haiwan liar secara drastik boleh menjejaskan kesejahteraan mereka dan, dalam kes ini, kelangsungan hidup mereka,” kata siaran berita, sambil menyatakan orang ramai dikehendaki berada sekurang-kurangnya 23 meter dari semua hidupan liar dan 98 meter dari beruang dan serigala.
“Keselamatan haiwan ini, serta keselamatan manusia, bergantung kepada setiap orang yang menggunakan pertimbangan yang baik dan mengikut peraturan mudah ini.” menurut taman tersebut.
Penguatkuasa undang-undang Taman Negara Yellowstone kini sedang mencari maklumat daripada orang ramai mengenai kejadian itu. – Agensi