Aktiviti vermikompos atau baja tahi cacing tanah.

MELAKA – Seramai 24 pelajar Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah berkongsi ilmu fertigasi penanaman cili dan baja organik vermikompos bersama 29 orang
pelajar Sekolah Henry Gurney (SHG), Melaka di sini, hari ini bagi mengembangkan kemahiran ilmu pertanian.

Pensyarah Jabatan Teknologi Pertanian UPM, Dr. Jasmin Arif Shah berkata, perkongsian ilmu pertanian dalam program Membina Masa Depan dengan Pertanian 2.0 ini membantu
dan menyokong komuniti mengeluarkan hasil tanaman dan memenuhi kehendak pasaran bagi menjamin sekuriti makanan.

“Perkembangan kemahiran pertanian kepada pelajar SHG Melaka sedikit sebanyak memberi nilai tambah kepada pelajar-pelajar ini di masa hadapan dengan dunia pertanian
dan ada juga minatnya berjaya dipupuk untuk ceburi bidang ini.

“Pada awalnya ada pelajar SHG di sini yang tidak minat dengan pertanian tetapi setelah melakukan dua aktiviti hari ini secara fizikal mereka berasa tertarik.

“Hari ini, dua modul yang kita bawa iaitu fertigasi penanaman cili dan penghasilan baja organik vermikompos menggunakan buku kecil (booklet) yang dihasilkan sendiri oleh 24
pelajar Kursus Komunikasi Pengembangan dan Demonstrasi Kaedah Pertanian, (TKP3205),” katanya.

Jelasnya, buku modul ini memberi kemudahan kepada pelajar SHG Melaka untuk melaksanakan aktiviti berdasarkan carta gambar dan penerangan yang ringkas.

“Kita juga hendak melakukan pemindahan ilmu pertanian kepada komuniti tanpa mengira lapisan masyarakat," katanya yang juga menyimpan hasrat untuk melakukan program
pertanian 3.0 di sini.

Sementara itu, Pengarah Program, Tamilarasan A/L E Nagarajan, 23, Bacelor Sains Pengurusan Perladangan dengan Kepujian berkata perkongsian ini dapat membantu pelajar
yang berminat dalam bidang pertanian untuk mula melakukan penanaman dan pengurusan pelbagai jenis tanaman. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast