ISU kalimah Allah bukan sesuatu yang baharu di negara ini dan sudah agak lama tidak kedengaran selepas UMNO tidak lagi mendominasi kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Malah, seorang tokoh agama yang pernah dihubungi penulis kira-kira 10 tahun lalu enggan mengulas tentang polemik kalimah Allah yang panas sebelum PRU13.
Katanya, sudah terlalu lama polemik itu berpanjangan dan sudah banyak kali beliau memberi ulasan tetapi belum ada penyelesaian yang konkrit.
Kini, isu kalimah Allah kembali membara selepas tersebar laporan media berhubung keputusan kerajaan menarik balik rayuan dalam kes mahkamah melibatkan kalimah Allah dalam penerbitan untuk penganut Kristian pada 18 April lalu.
Seperti yang diperjelaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan mempunyai asas untuk berbuat demikian dalam kes Jill Ireland Lawrence Bill di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu.
Menurut beliau, tindakan itu adalah selaras dengan keputusan Kabinet pada 1986 berhubung penggunaan kalimah Allah dalam bahan penerbitan agama Kristian di mana kelonggaran diberi kepada orang bukan Islam di Sabah dan Sarawak.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pula mempertahankan tindakan itu dengan menjelaskan bahawa ia cuma melibatkan isu perundangan sivil dan pentadbiran iaitu berkaitan rampasan bahan penerbitan dan bukannya membabitkan isu penggunaan kalimah Allah.
Walau apa pun alasan yang diberikan Anwar dan Saifuddin, yang nyata kini UMNO berada dalam keadaan tersepit lebih-lebih lagi menjelang enam pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.
Semua orang tahu bahawa UMNO pernah bersuara lantang dalam mempertahankan kesucian kalimah Allah satu ketika dahulu namun sekarang, suara pemimpin-pemimpin parti itu seolah-olah timbul tenggelam.
Situasi itu mudah difahami kerana sebagai sebuah parti yang menganggotai Kerajaan Perpaduan, UMNO perlu bersolidariti dengan sekutu-sekutunya dalam apa jua keputusan yang dibuat.
Cuma, berbeza dengan rakan-rakan baharu dari PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah), UMNO akan bertanding di kerusi-kerusi yang mempunyai majoriti pengundi Melayu dan Islam pada PRN di Kelantan, Kedah, Terengganu, Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang.
Hampir pasti pihak lawan terutamanya Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan memanipulasi isu kalimah Allah untuk meyakinkan pengundi bahawa UMNO sudah hilang bisanya dalam perjuangan mempertahankan agama.
PKR, DAP dan Amanah tidak berdepan dilema ini secara langsung kerana kerusi-kerusi yang disandang mereka mempunyai komposisi pengundi bercampur dari segi latar belakang agama dan kaum.
Dalam masa yang semakin suntuk, tidak dapat dipastikan sama ada UMNO mampu mengawal dan membaiki kerosakan yang timbul ekoran perkembangan terbaharu dalam isu kalimah Allah.
Jika UMNO mengambil pendirian mempertahankan keputusan kerajaan menarik balik rayuan, terdapat kebarangkalian yang tinggi parti itu akan kehilangan sokongan sebahagian besar pengundi Melayu dan Islam.
Sebaliknya, solidariti Kerajaan Perpaduan bakal terjejas sekiranya UMNO bersuara lantang mengkritik tindakan kerajaan itu semasa kempen enam PRN nanti.
Sememangnya UMNO berada dalam situasi ‘ditelan mati emak, diluah mati bapak’.
Terpulang kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan UMNO yang diketuai Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk meyakinkan orang Melayu dan Islam bahawa parti itu masih belum tergelincir daripada landasan perjuangan yang asal. – MalaysiaGazette