MELAKA – Lebih 2,000 peniaga daripada enam persatuan di Bandar Hilir, di sini, merayu kerajaaan negeri mengkaji semula cadangan menjadikan Melaka sebagai zon bebas kenderaan bermula Jun ini yang didakwa bakal menjejaskan pendapatan mereka.
Lebih mengecewakan, cadangan menutup jalan sepanjang kira-kira lima kilometer sekitar Banda Hilir, termasuk dari Bangunan Stadthuys hingga Dataran Pahlawan, pada Jumaat hingga Ahad tidak pernah dibincangkan bersama mereka sebelum ini.
Pengerusi Persatuan Peniaga Bangunan Plaza Mahkota, Saharudin Mohd Noh, 56, berkata, mereka hanya mengetahui cadangan itu daripada laporan media sebelum ini.
“Sampai ke hari ini, kami tunggu juga kalau diberikan surat pekeliling memaklumkan cadangan ini, namun tiada sedangkan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sudah pun mengumumkannya.
“Kami agak terkilan kerana tidak pernah dilibatkan dalam perbincangan cadangan ini sedangkan ia akan memberi kesan kepada kami yang selama ini turut menjadi penyumbang kepada sektor pelancongan negeri,” katanya ketika ditemui media, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, peniaga restoran asam pedas yang sudah 30 tahun bertapak di Banda Hilir berharap kerajaan dapat memanggil pemain industri untuk berdialog mengenai kesan daripada cadangan itu sebelum ia dilaksanakan.
Sebelum ini, media melaporkan kawasan pelancongan di sekitar Banda Hilir akan dijadikan zon bebas kenderaan bermula Jumaat hingga Ahad bermula pertengahan Jun depan.
Ab Rauf Yusoh berkata, kajian mengenai perkara itu sedang dibuat dan tempoh percubaan akan dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), antaranya di Jonker Walk sehingga ke Dataran Pahlawan.
Pengerusi Peniaga Uptown Pahlawan Walk, Wan Haizi Abdul Rahim, 43, berkata, seramai 200 peniaga di bazar itu membantah cadangan Melaka bebas kenderaan yang tidak mesra penjaja.
“Bayangkan, macamana kami nak turun punggah barang untuk berniaga di pasar malam kalau jalan ini ditutup dan bagaimana pula dengan kepayahan terpaksa dilalui pelancong.
“Takkan nak jalan kaki dua tiga kilometer, lepas tu datang sini beli dua tiga botol cencaluk bersama anak-anak yang masih kecil?,” katanya.
Tambahnya, pendapatan peniaga juga dijangka akan merosot sehingga 80 peratus kerana halangan pelancong untuk membawa masuk kenderaan ke lokasi tumpuan utama pelancong itu.
Pemilik salon, Ben Quek, 50, berkata, kerajaan sepatutnya memikirkan untuk menyediakan lebih banyak ruang parkir kenderaan dan bukannya menjadikan Melaka sebagai zon bebas kenderaaan.
“Sebenarnya, masalah kesesakan di sini akan lebih buruk jika jalan ditutup kerana pelancong terpaksa ambil masa dua hingga tiga jam untuk mencari parkir sebelum dapat berjalan ke sini.
“Jadi sepatutnya, kerajaan perlu sediakan lebih banyak ruang parkir untuk memudahkan pelancong,” katanya. – MalaysiaGazette.
Rakyat Melaka ni perlu respect Kerajaan Negeri yang memberi KELAINAN peraturan fizikal. Jika banyak alasan seharusnya peniaga-peniaga CARI tempat lain..
Rakyat jangan jadi LAHABAU mangkok jamban banyak bunyi LANGAU.
KM tahu apa keperluan baik rakyat untuk di ubah.
goodbye Zahid Hamidi sayonara