Mohd Ridhaudden dilaporkan hilang selepas mendaki Telaga Tujuh, Gunung Machinchang di Langkawi semalam.

LANGKAWI – Seorang pegawai Maritim Malaysia (APMM) dilaporkan hilang selepas mendaki Telaga Tujuh di Gunung Machinchang, di sini, semalam.

Kehilangan, Mohd Ridhaudden Rosman, 32, dilaporkan kepada pihak polis pada jam 12.47 tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, mangsa dikatakan memuat naik status terakhir kepada rakannya menerusi Messenger Facebook jam 4.45 petang semalam.

Shariman (kiri) memberi taklimat kepada anggota SAR di Telaga Tujuh hari ini.

Jelasnya, selain itu, Mohd Ridhaudden juga dilaporkan berkomunikasi dengan isterinya selepas 30 minit memuat naik status tersebut sebelum gagal dihubungi sehingga malam hari.

“Semakan mendapati mangsa bertugas di Bahagian Cari Lamat dan Bantuan Bencana (SAR) Maritim Malaysia di Putrajaya dan berada di sini untuk penugasan Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA 2023).

“Pencarian awal dimulakan pada jam 2 pagi tadi dan hasil pemeriksaan mendapati motosikal yang digunakan mangsa ditemui di tempat letak kereta di pusat riadah itu.

“Operasi pancarian mangsa dilakukan dengan 106 keanggotaan membabitkan aset darat serta udara,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Shariman, operasi SAR turut membabitkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, APMM,  Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan orang awam yang mahir berkaitan laluan kawasan itu. – MalaysiaGazette