Jegan (tengah) menunjukkan minyak masak paket bersubsidi yang dirampas pihaknya di Stor Eksibit KPDN Pulau Pinang hari ini.

BUKIT MERTAJAM – Tindakan seorang pemilik kedai runcit menyorok minyak masak paket bersubsidi untuk dijual di pasaran luar dengan harga yang lebih tinggi akhirnya terbongkar.

Kegiatan lelaki berusia 50-an itu terbongkar selepas sepasukan pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menyerbu kediaman suspek di Taman Seri Tambun,  Simpang Ampat semalam.

Serbuan jam 1.50 tengah hari itu turut dilakukan dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Pengarah KPDN Pulau Pinang, S. Jegan berkata, hasil pemeriksaan pihaknya mendapati 1,557 kilogram minyak masak paket bersubsidi ditemui di rumah tamu kediaman terbabit.

Jegan.

Jelas beliau, semakan pihaknya mendapati lelaki itu mempunyai permit barang kawalan berjadual untuk menyimpan minyak masak di kedai runcitnya tetapi bukan kediaman tersebut.

“Ikut permit lelaki itu hanya boleh menyimpan 500 kilogram minyak di kedai runcitnya namun pemeriksaan menemui jumlah berganda. Sehubungan itu, kita telah menyita lebih 1.5 tan minyak masak paket yang bernilai RM3,892.50.

“Selain itu, lelaki tempatan berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media di Stor Eksibit KPDN di Bukit Minyak di sini, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai modus operandi suspek, Jegan berkata, peruncit itu mempamerkan notis tiada bekalan minyak paket subsidi untuk dijual kepada pelanggan di kedainya meskipun dia didapati mendapat bekalan daripada pembekal.

“Susulan aduan diterima, pegawai kita lakukan penyamaran untuk siasat dakwaan dan hasil penyamaran mendapati suspek memberi alasan tiada bekalan minyak masak paket setiap kali pelanggan mahu membelinya.

Lebih 1.5 tan minyak masak paket bersubsidi dirampas.

“Siasatan kita juga mendapati, suspek menyorok minyak ini di kediamannya dipercayai untuk dijual kepada pasaran luar dengan harga yang lebih tinggi. Bagaimanapun, siasatan lanjut  masih dijalankan.

“Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya,

Dalam perkembangan sama, Jegan menasihatkan peniaga dan orang ramai agar tidak terlibat dalam penyelewengan barang kawalan bersubsidi terutama minyak masak bagi membantu kerajaan menjayakan objektif subsidi sampai kepada pihak yang sepatutnya.

“Sekiranya penyelewengan terus berlaku, ini akan menyebabkan kerugian dan objektif bagi membantu isi rumah yang memerlukan tidak tercapai.

“Kita juga tidak akan berkompromi dengan pihak yang cuba menyalahgunakan barang kawalan bersubsidi,” jelas Jegan. – MalaysiaGazette