sedekah fadhli shaari
Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR – Pas menyifatkan tuduhan bahawa Perikatan Nasional (PN) menerima sumbangan syarikat judi sebagai sebahagian dana pilihan raya sebagai ‘untold lie’.

Ketua Pemuda Pas Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan dakwaan yang dilemparkan terhadap parti itu sebelum ini selepas Dewan Rakyat diberitahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak membuka kertas siasatan terhadap tuduhan itu  kerana ia terlalu umum.

“Soalan saya berhubung isu ‘PN terima dana judi’. Jadi di mana tuduhan dan fitnah yang keluar dari mulut pimpinan negara itu? Untold lie,” kata Ahli Parlimen Pasir Mas di media sosial.

Ahmad Fadhli sebelum itu bertanya kepada Parlimen mengenai status dakwaan bahawa parti-parti dalam PN telah mendapat sumbangan daripada dana judi untuk kempen pilihan raya umum yang lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Orhman Said dalam jawapan bertulis kepada Parlimen berkata, SPRM telah menjalankan kajian dan mendapati tidak ada mana-mana pihak boleh mengesahkan tuduhan itu.

“Untuk makluman Yang Berhormat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah menjalankan kajian terperinci berkaitan maklumat tersebut.

“Walau bagaimanapun, SPRM mendapat maklumat terlalu umum dan tiada pihak yang boleh mengesahkan isu ini. Justeru, tiada apa-apa fail siasatan dibuka ke atas isu ini,” kata Azalina.

Pada 5 Disember tahun lalu media melaporkan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membayangkan sebahagian dana pilihan raya PN datang dari syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas judi.

Bercakap ketika sidang media di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, beliau berkata, dana pilihan raya untuk parti “Melayu” dan parti “Islam” datang dari syarikat perjudian.

“Berkenaan judi, pastinya sebahagiannya digunakan untuk mendanai pilihan raya. (Saya telah minta) semakan terhadap perkara itu.

“Walaupun anda gelar diri anda parti Melayu atau parti Islam, dana (pilihan raya) datang dari syarikat judi,” katanya.

Parti Pas dan Bersatu kemudiannya menjadi cemuhan pelbagai pihak berikutan dakwaan tersebut.

Sejumlah pihak sebelum ini mempersoalkan sumber dana kempen PN yang dilihat mereka di luar kemampuan gabungan itu.-MalaysiaGazette