Datuk Wan Saiful Wan Jan.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang tidak dapat membuktikan dakwaan bahawa Perikatan Nasional (PN) menerima dana syarikat judi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, membuktikan tuduhan itu sebagai satu fitnah besar dan dahsyat terhadap gabungan berkenaan.

Bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan berkata, kerajaan ketika ini dilihat cuba mewujudkan imej dan persepsi buruk terhadap PN kerana mahu menafikan ‘gelombang’ rakyat selepas PRU15.

“Pada 5 Disember 2022, (Datuk Seri) Anwar Ibrahim tuduh PN terima dana PRU dari syarikat judi.

“Hari ini (semalam), melalui jawapan Menteri Kerajaan Anwar Ibrahim sendiri mengesahkan tiada bukti PN terima dana syarikat judi.

“Lima bulan berlalu untuk kerajaan ini hasilkan imej dan persepsi buruk terhadap PN. Ini terang-terang fitnah besar dan dahsyat sekali! Kerajaan PH-BN ini cuba menafikan kebangkitan gelombang rakyat pada PRU15,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu mendakwa, beliau yakin ia adalah sebahagian daripada strategi Pakatan Harapan-UMNO untuk mencipta persepsi buruk terhadap PN dan pemimpin gabungan itu.

“Apa lagi lakonan yang mahu dimainkan oleh kerajaan ini, selain ajak pelajar sekolah dan penjawat awam tonton filem sendiri yang gah sangat itu.

“(Selain) terus-menerus tidak peduli rintihan suara rakyat, kos sara hidup dan ekonomi tak stabil. Rakyat masih tak lupa janji nak turunkan harga petrol RM1.50.

“Ayuh, kita bangkit dalam PRN akan datang. Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, kita try (cuba) kalih (ubah),” ujarnya.

Semalam media melaporkan, siasatan SPRM tidak dapat membuktikan dakwaan bahawa PN menerima dana daripada syarikat perjudian untuk berkempen dalam PRU15.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, SPRM sudah menjalankan kajian terperinci berkaitan maklumat berkenaan.

Bagaimanapun, SPRM mendapati maklumat terlalu umum dan tiada pihak yang boleh mengesahkan isu ini.

“Justeru, tiada apa-apa fail siasatan dibuka ke atas isu ini,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.

Sebelum ini, Anwar dalam sidang medianya mendedahkan kemungkinan PN memperoleh dana politik dari syarikat berkaitan perjudian bagi membiayai perbelanjaan pilihan raya. – MalaysiaGazette