BNM
Bangunan Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia berkata, pergerakan ringgit akan terus ditentukan oleh pasaran dan ia akan terus menguruskan risiko yang berpunca daripada volatiliti pasaran kewangan yang
meningkat.

Bagi tujuan ini, operasi pasaran BNM akan memastikan pasaran kewangan mempunyai mudah tunai yang mencukupi serta berfungsi secara teratur.

Prestasi ringgit dijangka bertambah baik apabila ketidakpastian berhubung dengan perkembangan pasaran global menjadi reda, seterusnya akan mencerminkan kekukuhan asas-asas ekonomi Malaysia dengan lebih baik.

Menurutnya, penurunan nilai ringgit baru-baru ini tidak terhad kepada Malaysia semata-mata.

Menurutnya, prestasi ringgit secara keseluruhan perlu diberikan pertimbangan bukan sahaja berbanding dengan dolar Amerika Syarikat (AS), tetapi juga dengan mata wang negara rakan perdagangan utama
Malaysia.

Pergerakan ringgit berbanding dengan rakan dagangan utama negara, seperti yang diukur oleh kadar pertukaran efektif nominal (NEER), secara relatif adalah lebih perlahan.

Kesannya, ringgit menghadapi tekanan penurunan nilai yang ketara, sama seperti kebanyakan mata wang.

Oleh itu, penurunan nilai ringgit baru-baru ini tidak terhad kepada Malaysia semata-mata dan prestasi ringgit secara keseluruhan perlu diberikan pertimbangan bukan sahaja berbanding dengan dolar AS, tetapi juga dengan mata wang negara rakan perdagangan utama Malaysia.

“Pada persekitaran semasa, perkembangan luaran memberikan kesan yang lebih besar terhadap prestasi ringgit.

“Sehubungan dengan hal ini, prestasi ringgit berbanding dengan dolar AS, atau mana-mana mata wang lain, tidak mencerminkan kedudukan ekonomi negara, kata Bank Pusat itu yang mengulas mengenai kejatuhan nilai ringgit.

Jelasnya, perkembangan semasa dalam pasaran kewangan global telah menjejaskan sentimen pasaran.

Keadaan ini termasuk had tertinggi hutang AS yang belum dapat diselesaikan serta episod tekanan sektor perbankan di AS dan Eropah.

Hal ini telah menyebabkan meningkatnya permintaan terhadap aset selamat seperti dolar AS dan aliran keluar daripada kebanyakan ekonomi sedang pesat membangun apabila pelabur melindungi pelaburan mereka.

Berlatarkan keadaan ini, dolar AS telah mengukuh berbanding dengan kebanyakan mata wang.

Bank Negara Malaysia menegaskan, ekonomi Malaysia dijangka terus berkembang antara 4.0% hingga 5.0% pada tahun 2023.

Permintaan dalam negeri akan terus mendorong pertumbuhan, disokong oleh pasaran pekerja yang terus pulih serta pelaksanaan projek pelaburan dan projek modal jangka panjang, termasuk pelaburan langsung asing yang diluluskan seperti ECRL, LRT3 dan Lebuhraya Pan Borneo.

Pada masa yang sama, pasaran eksport dan segmen produk Malaysia yang pelbagai akan terus menyokong daya tahan sektor luaran. – MalaysiaGazette