Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus

KUANTAN – Jabatan Kesihatan Negeri Pahang mengeluarkan 6,750 notis kompaun bernilai RM1,592,100 bagi pelbagai kesalahan berkaitan merokok dalam operasi yang dijalankan sejak awal Januari hingga hari ini di seluruh negeri Pahang.

Pengarahnya JKNP Pahang, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus berkata, pihaknya  telah mempergiatkan usaha bagi memastikan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 dapat membantu meningkatkan tahap kesihatan masyarakat daripada bahaya merokok.

”JKNP telah menjalankan operasi bersepadu PPKHT 2004 pada 26 dan 27 Mei 2023 sempena sempena sambutan Hari Tanpa Tembakau 2023 yang disambut pada 31 Mei setiap tahun,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya, hasil daripada operasi ini, sebanyak 495 notis kompaun telah dikeluarkan dengan nilai sebanyak RM112,350 melibatkan pelbagai kesalahan merokok di tempat larangan merokok dan kegagalan pemilik premis memastikan tiada orang merokok.

Dr. Nor Azimi berkata, operasi ini turut menguatkuasakan peraturan sedia ada berkaitan larangan merokok terhadap orang belum dewasa (OBD).

Tambah beliau, menerusi operasi itu, seramai 57 orang belum dewasa telah diberikan notis kerana didapati merokok, menghisap rokok elektronik atau vape atau memiliki hasil tembakau.- MalaysiaGazette