KUALA LUMPUR – Kadar Indeks Harga Pengeluar Malaysia yang mengukur harga barangan di pintu kilang terus menurun kepada negatif 3.0 peratus pada April 2023 berbanding negatif 2.9 peratus pada Mac 2023.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata, penguncupan ini disebabkan terutamanya oleh penurunan dalam sektor pertanian, perhutanan & perikanan dan perlombongan.
Sektor pertanian, perhutanan & perikanan terus menunjukkan trend negatif selama 10 bulan berturut-turut, merekodkan negatif 26.0 peratus (Mac 2023: -28.7%).
Buah tandan segar kelapa sawit iaitu komponen terbesar dalam sektor ini jatuh negatif 40.3 peratus pada April 2023 berbanding negatif 43.5 peratus pada Mac 2023 manakala sektor perlombongan turut mencatatkan penurunan negatif 4.7 peratus pada April 2023 berbanding negatif 11.5 peratus pada bulan sebelumnya, kesan kejatuhan indeks pengekstrakan petroleum mentah (-12.5%).
Sementara itu, sektor pembuatan merekodkan peningkatan marginal 0.1 peratus (Mac 2023: 1.4%) disebabkan oleh peningkatan signifikan indeks pembuatan komputer, produk elektronik & optikal (7.2%) dan pembuatan kelengkapan elektrik (4.7%), dan diimbangi dengan penurunan indeks pembuatan produk makanan (-7.3%) dan pembuatan kok & produk petroleum bertapis (-1.7%).
Pada masa yang sama, sektor bekalan air serta ekalan elektrik & gas masing-masing meningkat 3.2 peratus dan 0.1 peratus.
DOSM menjelaskan, pada asas bulanan, IHPR pengeluaran tempatan mencatatkan peningkatan marginal 0.2 peratus pada April 2023 berbanding 0.3 peratus pada bulan sebelumnya.
Sektor pertanian, perhutanan & perikanan meningkat 0.8 peratus, disebabkan peningkatan dalam indeks penanaman tanaman kekal (1.1%).
Sektor perlombongan mencatatkan peningkatan 0.5 peratus (Mac 2023: -0.6%), seiring dengan peningkatan indeks pengekstrakan petroleum mentah (1.5%).
Sektor pembuatan pula mencatatkan meningkat perlahan 0.1 peratus (Mac 2023: -0.1%), disebabkan oleh indeks pembuatan produk makanan (0.9%) dan pembuatan kimia & produk kimia (0.7%).
Sementara itu, sektor bekalan elektrik & gas turun kepada negatif 0.6 peratus berbanding 0.5 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya, manakala sektor bekalan air kekal tidak berubah.
Indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya susut kepada negatif 17.6 peratus pada April 2023 (Mac 2023: -21.0%) disebabkan penurunan negatif 21.3 peratus dalam indeks bahan bukan makanan.
Bahan perantaraan, bekalan & komponen turun negatif 0.1 peratus pada bulan ini (Mac 2023: 1.5%) disebabkan oleh penurunan dalam indeks bahan & komponen untuk pembuatan (-4.7%) dan bekas (-2.0%).
Sebaliknya, indeks barang siap meningkat 3.5 peratus (Mac 2023: 3.9%) dengan indeks kelengkapan modal dan barangan pengguna siap masing-masing meningkat 4.1 peratus dan 2.8 peratus.
Indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya dan bahan perantaraan, bekalan & komponen masing-masing meningkat 0.7 peratus dan 0.2 peratus pada asas bulanan.
Sementara itu, indeks barang siap menurun negatif 0.1 peratus. – MalaysiaGazette