Koo Shiaw Lee

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung Projek Perolehan Kapal Second Generation Patrol Vessel (SGPV) berkeupayaan Littoral Combat Ship (LCS) bagi Tentera Laut Diraja Malaysia yang terpaksa diteruskan.

Naib Presidennya, Koo Shiaw Lee mendakwa nada Anwar sudah berubah berbanding tatkala beliau menjadi Ketua Pembangkang dahulu.

“Di manakah pendirian Anwar sebelum ini mengatakan projek LCS mempunyai skandal dan rasuah.

“Mungkin Anwar telah lupa sebab sekarang sudah bekerjasama dengan perasuah berbeza dengan sebelum ini, beliau seorang yang perangi rasuah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shiaw Lee merujuk kenyataan Anwar pada Sabtu lalu yang berkata projek LCS akan diteruskan kerana kerajaan telah membelanjakan sejumlah dana.

Tambah Shiaw Lee lagi, anak syarikat BHB Boustead Naval Shipyard memaklumkan syarikat itu telah menandatangani enam kontrak tambahan untuk projek tersebut.

“Mengapa Anwar masih ingin teruskan lagi projek LCS tersebut, sedangkan kita tahu bahawa ini akan membazirkan duit kerajaan sahaja.

“Ini terang lagi bersuluh ada agenda tersembunyi atau mungkin untuk menyelamatkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang terpalit dalam kes skandal LSC,” tegasnya.

Anwar ketika memegang jawatan Ketua Pembangkang menegaskan supaya kerajaan menghentikan projek LCS fasa enam susulan pendedahan Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada tahun lalu.

Beliau turut berkata, tindakan segera perlu diambil bagi memastikan negara tidak berdepan kerugian sebanyak RM500 juta lagi sekiranya projek itu diteruskan, selain projek perolehan LCS sebelum ini membabitkan kos yang besar dan tidak membuahkan sebarang hasil, setakat ini.

Sebelum ini pembinaan kapal LCS terpalit kontroversi apabila Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara mendedahkan tiada seunit pun telah disiapkan walaupun kerajaan telah membelanjakan RM6.083 bilion menerusi BNS. – MalaysiaGazette