KUALA LUMPUR – Harga berpatutan dengan potongan diskaun sehingga 70 peratus antara tarikan utama pencinta buku berkunjung ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, pesta buku yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) sejak Jumaat lalu itu dibanjiri pengunjung yang mengambil kesempatan sempena cuti sekolah.
Bagi pelajar, Najiha Mat Yusof, 20, rasa berbaloi datang PBAKL kerana banyak penerbit menawarkan potongan diskaun yang banyak.
“Bagus untuk pelajar hadir ke sini mencari buku, harga sangat berbaloi dengan diskaun di antara 50 peratus hingga 70 peratus.
“Saya suka cari buku kartun macam Ana Muslim dan jumpa penulis buku seperti Iddin Ramli dan Aisyah Hijanah dekat sini,” ujarnya.
Sementara itu, Mohd Alawi Azmi, 38, dia bersama keluarga sanggup datang dari Teluk Intan, Perak untuk merasai suasana PBAKL 2023 buat pertama kali pada musim cuti persekolahan.
“Saya gerak dari Teluk Intan pada pukul 10 pagi tadi, sebelum ini, saya memang bawa mereka (anak-anak) semua balik kampung kalau cuti sekolah tapi kali ini nak rasa suasana dan pengalaman berada di PBAKL 2023.
“Dari segi tawaran harga, banyak beza diskaun berbanding di kedai, kalau tiada diskaun tak ada gunalah kita datang sini. Kita mencari buku rujukan untuk anak-anak dan apa yang mereka suka.
“Bagus buat pesta buku, banyak pilihan dan ibu bapa pun boleh pilih apa anak-anak suka dan banyak benda yang menarik,” katanya lagi.
Faruq Husainy Hasbullah, 42, berasal dari Ampang sanggup menempah hotel bersama keluarganya untuk meluangkan masa di PBAKL 2023 yang sudah menjadi kebiasannya buat mereka.
Katanya, sebelum ini negara dilanda pandemik Covid-19 sekaligus menghalang penganjuran pesta buku namun kali ini kehadiran orang ramai dilihat amat memberangsangkan.
“Saya tak pasti ini kali keberapa hadir pesta buku sebab kita tidak anjur program ini dah tiga tahun lalu akibat Covid-19. Saya memang akan bawa keluarga untuk cari buku macam novel, buku belajar.
“Kalau dari segi harga buku di sini agak menarik sebab banyak diskaun yang ditawarkan. Saya akan tempah hotel sebab suka datang waktu malam tak ramai orang tapi hari ini kita nak melawat booth lain.
“Anak-anak dan isteri saya memang suka baca buku, jadi inilah masa kami luangkan masa pergi booth ke booth cari,” jelasnya.
Norain Amira Mohd Taj, 34, pula berpandangan, pemilihan masa penganjuran PBAKL 2023 amat tepat kerana ia berlangsung ketika cuti sekolah dan pada awal bulan.
“Buat masa ini, harga buku murah sangat ada RM1 hingga RM2 tapi buku lamalah. Masa dianjurkan pun amat baik sekali sebab waktu cuti sekolah tambah pula orang baru lepas gaji dan mudah akses dari LRT.
“Saya fokus cari buku yang ada kaitan dengan diri kita sebagai emak, buku kanak-kanak dan buku yang inspirasi, kehidupan atau motivasi macam tu.
“Saya berharap semoga program ini terus dianjurkan setiap tahun tapi perlu lebihkan dari segi promosi penganjurannya sama ada dari artis terkenal atau influencer supaya lebih ramai yang mengetahui,” katanya.
PBAKL 2023 Ke-40 diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, bermula 26 Mei hingga 4 Jun ini.
Buat julung kalinya, pesta buku itu akan menyediakan tiga pavilion menampilkan China sebagai Negara Tamu, Sarawak (Negeri Tamu) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (Kementerian Tamu).
Selain tiga peserta tamu itu, PBAKL 2023 akan menampilkan 811 reruai termasuk 30 antaranya disertai penerbit buku antarabangsa serta 138 pempamer dari dalam dan luar negara. – MalaysiaGazette